Oleh Abd Jaafar Wahid
KOTA KINABALU: Setiap tahun pada 31 Ogos negara akan mengadakan sambutan Hari Kemerdekan yang disambut secara besar-besaran di ibu negara dan di seluruh negeri, sekaligus memberi peluang kepada ahli dan akar umbi menghayati sejarah perjuangan UMNO mendapatkan kemerdekaan.
Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, sejarah kemerdekaan Malaysia adalah sebuah kisah kejayaan hasil daripada perjuangan yang gigih dan kesatuan rakyat. Dari zaman penjajahan hingga ke era kemerdekaan, perjalanan ini mengajar rakyat di negara ini betapa pentingnya perpaduan, kesabaran, dan keberanian dalam menuntut hak dan kebebasan.
Katanya sejarah perjuangan untuk kemerdekaan Malaysia tidak bermula secara tiba-tiba.
Ia adalah hasil daripada pergerakan nasionalisme yang berkembang sepanjang awal abad ke-20. Pada tahun 1940-an, semangat kemerdekaan semakin kuat dengan kemunculan pelbagai parti politik dan pertubuhan yang berjuang untuk kebebasan, katanya.
“Antara organisasi yang memainkan peranan penting ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang ditubuhkan pada tahun 1946, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lahir daripada Kesatuan Melayu Muda (KMM). UMNO memainkan peranan utama dalam usaha meraih kemerdekaan melalui rundingan dengan pihak British,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 yang dikeluarkan di sini semalam.
Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, peranan serta sumbangan Umno bukan sahaja menuntut kemerdekaan dari Brisitish namun selepas kemerdekaan dicapai Umno telah memberikan peranan serta sumbangan yang besar dalam mengisi kemerdekaan ,membawa negara menjadi aman makmur dan terus membangun.
“Namun ketika ini sebilangan rakyat khususnya generasi muda melupai sejarah ini,lebih malang ada dikalangan pemimpin yang dahulu bersama-sama UMNO yang kini berpindah ke parti lain turut memperlekahkan perjuangan UMNO yang telah berjasa dan meletakkan mereka dalam keadaan serba kesenangan,” katanya.
Bung mengambil contoh apa yang berlaku di Sabah muthakir ini masih ada suara-suara sumbang yang memperlekahkan jasa serta sumbangan UMNO kepada negara khususnya di Sabah dengan memainkan pelbagai sentimen antaranya “Anti Parti Malaya” yang sudah tentu turut terkait parti UMNO, sedangkan UMNO sudah bertapak di Sabah selama 33 tahun termasuk pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 28 tahun membawa banyak kebaikan kepada negeri itu.
Beliau berkata, UMNO memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri ini dengan tumpuan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan negeri.
“Kita mencapai banyak kejayaan walaupun banyak halangan. Selama tempoh 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah, ia menlahirkan semangat integrasi nasional yang kukuh antara rakyat negeri ini dengan pemimpin dan rakyat di Semenanjung dan Sarawak,” katanya.
Bung menambah sentimen yang dimainkan oleh beberapa individu tokoh politik di negeri, termasuk isu-isu etenik,bangsa yang sering diuar-uarkan dari pelbagai penjuru samada melalui kenyataan dan juga turut dimuat naik di media sosial.
“Cerminan wajah perpaduan selama 67 tahu negara Merdeka akan tercalar akibat tercetus sentimen ekstremism ini, yang akan memberikan kesan terhadap usaha memperkukuhkan perpaduan demi untuk mencapai keharmonian dan kemajuan negeri,” katanya.
Bung yang juga Ahli Majlis Kerj Tertinggi UMNO berkata, wajah perpaduan seharusnya dilakari dengan pengukuhan identiti nasional dimana kriteria utama sebagai identiti nasional rakyat Malaysia adalah dengan mendukung irrar Rukun Negara
Dalam pada itu beliau turut mengharapkan bulan kemerdekaan ini dijadikan sebagai wadah oleh para pemimpin dan akar umbi untuk merapatkan saf bagi menguatkan semula parti.
“Inilah masanya untuk kita gunakan ruang dan peluang yang ada di dalam bulan Ogos dan kemerdekaan untuk kita imbau kembali sejarah perjuangan sambil tautkan silaturahim sesama ahli parti, masyarakat dan di dalam komuniti. Mudah-mudahan UMNO akan kembali bangkit, meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat,” katanya.