PENAMPANG: Usahawan wanita khususnya di Sabah digesa agar merebut peluang daripada pelbagai inisiatif yang disediakan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyediakan pembiayaan khusus untuk usahawan wanita.
“Antaranya, Skim Pembiayaan Ikhtiar oleh AIM, Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita (TekunNita), Program Pemerkasaan Usahawan Wanita di bawah INSKEN, Skim pembiayaan BRPlus-iBizLady dan Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh Pernas.
“Peranan dan sumbangan usahawan wanita dalam pembangunan ekonomi negara amat penting. Atas sebab itu, kerajaan menyediakan pembiayaan khusus untuk usahawan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE), di Hotel D’Arc, di sini, hari ini.
Ewon mahu ahli-ahli persatuan itu mencipta kejayaan seperti usahawan-usahawan lain.
“Saya sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan usahawan kerana mahu melihat lebih ramai ahli-ahli persatuan mencapai kejayaan dalam perniagaan masing-masing, seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepaada rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu Pengerusi USHWANE, Rowindy Lawrence merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membantu persatuan melaksanakan pelbagai program keusahawanan.
“Melalui sumbangan ini, kami dapat melaksanakan pelbagai program seperti sulaman, kraftangan dan banyak lagi untuk manfaat ahli-ahli persatuan.
“Dari segi pemasaran pula, kami juga membantu mereka memasarkannya bukan sahaja di Sabah tetapi di Semenanjung Malaysia dengan harapan lebih ramai usahawan wanita luar bandar berjaya dalam perniagaan,” katanya.
Seorang lagi ahli persatuan, usahawan dari Kota Marudu, Suzie Salapan berharap lebih ramai usahawan wanita luar bandar menyertai persatuan ini.
“Persatuan ini banyak membantu ahli-ahlinya bukan sahaja dari segi pemasaran dan peningkatan kemahiran tetapi juga dari segi sokongan untuk mengembangkan perniagaan agar sama-sama mencipta kejayaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sokongan berterusan kepada usahawan wanita luar bandar.
“Kisah-kisah kejayaan usahawan wanita yang Datuk (Ewon) kongsikan dalam ucapan beliau amat memberikan inspirasi dan motivasi kepada kami untuk terus berusaha dan lebih gigih mengharungi pelbagai cabaran dalam perniagaan,” katanya.
Ferney Matinin, usahawan dari Kota Belud berkata, pembiayaan khusus untuk wanita yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP amat baik dan berharap usahawan wanita di negeri ini dapat merebut peluang untuk mendapatkan pembiayaan itu.
“Terima kasih kepada Datuk Ewon kerana sentiasa memberi dorongan kepada usahawan-usahawan wanita supaya lebih berjaya dalam perniagaan.
“Maklumat ini mungkin biasa bagi sesetengah orang tetapi bagi usahawan luar bandar terutamanya yang sering menghadapi masalah talian telekomunikasi, perkongsian seumpama ini amat penting,” katanya.
Shanim Epin, Pengerusi USHWANE cawangan Kota Belud mengalu-alukan penyertaan usahawan wanita khususnya di kawasan itu supaya menyertai persatuan itu.
“Melalui persatuan, ahli-ahli dapat mengikuti kursus kemahiran secara percuma, kami juga membantu usahawan yang inginkan pembiayaan dan juga dari segi pemasaran produk.
“Kita mahu semua usahawan wanita luar bandar mencapai kejayaan dalam perniagaan dan sama-sama menyumbang kepada ekonomi negara. KIta tidak mahu mereka setakat menjadi ‘jaguh kampung’ tetapi menjadi jaguh negara,” katanya.