Jambatan konkrit Kg.Kaung bernilai lebih RM13 juta dijangka siap Jan 2026: Ewon

KOTA BELUD: Lebih 1,000 penduduk kampung di tiga buah kampung Mukim Kaung, di sini, bakal menikmati kemudahan perhubungan jalan yang lebih baik apabila jambatan konkrit Sungai Kadamaian Kg.Kaung Ulu, Kadamaian siap sepenuhnya Januari 2026.

Advertisements

Majlis Pecah Tanah permulaan pembinaan jambatan itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di sini, kelmarin.

Jambatan bernilai RM13.7 juta daripada peruntukan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Ewon berkata, pembinaan jambatan konkrit dua lorong ini telah lama diidamkan oleh penduduk di Kg Kaung Ulu yang selama ini bergantung kepada low level crossing dan sering menghadapi masalah menyeberangi Sungai Kadamaian setiap kali paras sungai naik terutamanya semasa musim lebat.

“Ini satu kemudahan yang sudah lama diimpi-impikan oleh penduduk kampung di Mukim Kaung iaitu Kg.Kaung Ulu, Kg.Kaung dan Kg.Lobong-Lobong.

“Apabila siap kelak dalam tempoh 18 bulan (Julai 2024 – Januari 2026), ianya akan memberi manfaat kepada keseluruhan penduduk di mukim ini, terutamanya para petani untuk memasarkan hasil pertanian mereka, murid sekolah, guru-guru, ibu bapa dan juga para pelancong.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan pimpinan Kerajaan Persekutuan khususnya KKDW yang menyediakan peruntukan dan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, dalam Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang beliau inisiatifkan sebaik menjadi ADUN Kadamaian, pembinaan jambatan konkrit dua hala itu merupakan ‘wishlist’ nombor satu para penduduk Kg Kaung Ulu.

“Syukur kini pembinaannya telah dimulakan dan sama-sama kita lengkapi usaha ini agar dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada penyelesaian keperluan nombor satu penduduk ini. Pastinya saya akan terus berusaha seperti selama ini dengan pendekatan tersendiri,” katanya.

Sementara itu penduduk kampung yang ditemuai merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan terutamanya kepada Wakil Rakyat Kadamaian atas usaha gigih membantu merealisasikan impian mereka.

Ketua Kampung Kg.Kaung Ulu Banod Ropotoh berkata, kemudahan itu sudah lama ditunggu-tunggu sejak 40 tahun yang lalu.

“Syukur pada hari ini, impian kami untuk mendapatkan kemudahan jambatan konkrit telahpun terlaksana,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kg.Kaung Ulu, Jude Sipin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon dan juga kerajaan persekutuan atas keprihatinan membina jambatan konkrit di kampung itu.

“Saya amat berbangga mendengar berita baik, jambatan konkrit di kampung kami sudah diluluskan dan akan dilaksanakan.

“Ini satu kemudahan asas yang paling penting dan amat ditunggu-tunggu oleh penduduk kampung sejak sekian lama. Syukur kerana atas usaha Datuk Ewon, impian kami menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan perhubungan yang lebih baik itu akan membantu mempertingkatkan lagi ekonomi penduduk kampung dan memudahkan mereka memasarkan hasil pertanian.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles