KOTA BELUD: Pusat Giat MARA Kota Belud akan dinaik taraf sebagai pusat Latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga mahir khususnya di kalangan belia tempatan di daerah ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, Pengerusi MARA Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejumlah RM 500,000 diluluskan untuk menaik taraf Pusat Giat Mara Kota Belud khususnya bagi membaiki bangunan dan menaik taraf beberapa kelengkapan dan peralatan di pusat tersebut.
“Saya sudah meminta Pengarah Pusat Giat MARA negeri menyediakan kertas kerja untuk tujuan kerja-kerja naik taraf ini dan kita akan mulakan kerja-kerja pembaikan dan sebagainya dalam masa terdekat ini,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kota Belud baru-baru ini di dewan Kompleks Sukan Botung dekat sini baru baru ini.
Dr. Asyraf yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, bagi melicinkan perjalanan Giat Mara Kota Belud proses naik taraf kemudahan dan insfrastrukur perlu dilakukan bagi menyediakan pusat pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk para pelatih di pusat tersebut.
Terdahulu membangkitan perkara tersebut Ketua Umno bahagian Kota Belud Azuwan Marjan Norjan meminta kerajaan khususnya Mara agar dapat menaik taraf segala fasiliti di pusat Giat Mara Kota Belud.
Katanya Pusat Giat Mara Kota Belud adalah yang terawal di bina di Sabah dan telah beroperasi hampir 31 tahun menyebabkan beberapa kemudahan dan insfrasrukturnya telah usang dan perlu dilakukan proses pembaikan dan naik taraf bagi menjamin keselesaan kepada para pelatih yang belajar di pusat berkenaan.
“Kami bersyukur perkara yang dibangkitkan ini mendapat maklum balas yang positif dari pengerusi Mara dan berharap ianya dapat dilaksanakan segara untuk menjamin keselesaan para pelatih di pusat ini” katanya.
Sebelum hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kota Belud Dr.Asyraf bersama rombongan sempat melakukan lawatan ke Pusat Giat Mara Kota Belud bagi meninjau sendiri keadaan pusat berkenaan.