KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat bermakna kerana Sabah akan turut meraikan bersama Hari Sabah setelah Kerajaan Negeri pada Jun lalu mewartakan untuk memperingati hari bersejarah itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap tiada kekeliruan khususnya dalam konteks penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Sabah kerana bagi negeri ini, Hari Sabah yang akan diraikan pada 31 Ogos ini akan menjadi titik penyatuan rakyat berbilang kaum untuk bersama membangunkan negeri ini.
Katanya, Hari Sabah juga memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah pada 31 Ogos 1963 dan bermulanya perjalanan kita bersama untuk pemerintahan sendiri dan membentuk negara Malaysia.
“Kita mahu rakyat khususnya generasi muda lebih mengetahui sejarah bukan saja mengenai sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga Hari Sabah. Namun, yang lebih penting ialah semangat kita untuk terus bersama-sama membangunkan dan memajukan negeri ini dan negara kita yang tercinta”, katanya.
Hajiji berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada Khamis.
Katanya, usaha kerajaan negeri membawa pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri ini, beberapa sektor penting dalam agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya terus menjadi keutamaan, antaranya keterjaminan makanan, meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara serta pelancongan, menoktahkan miskin tegar, peningkatan infrastruktur, pendidikan, peningkatan penyampaian perkhidmatan dan keselamatan.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada modal insan khususnya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang, agar berusaha gigih dalam mempertahankan kedaulatan negara dari terus diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, menggambarkan komitmen kita untuk terus membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera.
“Tema ini juga membawa maksud pentingnya untuk kita memastikan kemakmuran dan kemajuan disamping menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi”, katanya.
Hajiji berharap agar rakyat terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian yang telah menjadi kekuatan utama dalam pembangunan dan kemajuan negara dan negeri ini. Sesungguhnya, rakyat mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memelihara dan mempertahankan perpaduan yang sedia terjalin.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera, beliau menyeru kepada rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di kediaman masing-masing, bangunan pejabat dan premis perniagaan serta kenderaan sepanjang sambutan itu sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran dengan nikmat kemerdekaan.
“Sudah pasti dengan adanya semangat dan komitmen yang tinggi untuk sama-sama menjayakan sambutan ini, saya yakin Jalur Gemilang dan bendera negeri akan sentiasa berkibar dengan megah sebagai bukti kita semua bersatu hati bagi mempertahankan dan mengisi nikmat kemerdekaan”, katanya.
Hajiji berkata, pelbagai program dirancang sepanjang bulan kebangsaan tahun ini, antaranya Kembara Merdeka, Simfoni Jiwa Merdeka dan program Merdeka @Komuniti Peringkat Parlimen dan DUN.
“Bulan kebangsaan bukan sekadar perayaan semata-mata, juga merupakan peluang untuk kita menyantuni rakyat, mengekalkan semangat perjuangan dan patriotisme dalam kalangan rakyat berbilang kaum negeri ini”, tegasnya.
Sabah sambut Hari Kebangsaan, Hari Sabah pada 31 Ogos
Advertisements