Biro penerangan PGRS adakan kunjungan hormat ke atas Pengarah SKMM Sabah

KOTA KINABALU: Biro Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah, Ratnawaty Talib di Pejabat SKMM Sabah hari ini.

Advertisements

Rombongan itu diketuai Ketua Penerangan PGRS Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.

Kunjungan hormat itu, antara lain, bertujuan memperkukuh hubungan di antara MCMC dan Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sabah selain membincangkan isu-isu semasa.

Dalam pertemuan itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri mencadangkan MCMC Sabah untuk memperkenalkan satu seksyen yang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menghukum kesalahan yang berkaitan dengan buli siber ‘cyberbullying’.

Katanya dalam era digital hari ini, platform media sosial telah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat, menawarkan peluang yang tiada tandingan untuk perhubungan, komunikasi dan pembinaan komuniti.

“Kita semua perlu bangkit menentang segala bentuk buli dan singkirkan orang toksik daripada merosakkan komuniti alam maya.

“Jangan biarkan pembuli siber berleluasa, menjejaskan individu dari semua peringkat umur dan latar belakang termasuk menfitnah pemimpin, bersikap mengganggu, mengancam, menghina dan merendahkan seseorang.

“Tidak seperti buli tradisional, buli siber berbahaya kerana boleh berlaku 24 jam sehari, tujuh hari seminggu selain tiada sempadan masa dan tempat,” kat Nizam.

Beliau berkata, pembuli siber berani bertindak demikian kerana berselindung di sebalik nama samaran dan  akaun palsu dengan sewenang-wenangnya membuat komen jelik, ugutan dan hinaan.

Nizam menambah, tindakan tersebut kemudian memberi kesan emosi dan psikologi ke atas mangsa sehingga boleh menyebabkan tekanan dan  kemurungan serta dalam kes yang teruk mencederakan dan membunuh diri.

Oleh itu, katanya semua orang harus tahu sempadan serta had dalam membenarkan diri mereka di buli di alam siber selain bijak menjauhi atau menyekat golongan pembuli berkenaan.

Katanya, kebanyakan platform media sosial menawarkan alat untuk menyekat pembuli siber selain boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Turut hadir sama Pegawai Kerja Biro PGRS Sabah, Halil Rufili, Ketua Wanita PGRS Likas, Halizah Din, Ketua Penerangan Pemuda PGRS Sabah, Barhul Sahibu dan ahli jawatankuasa Biro Penerangan Julia Abt.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles