KOTA MARUDU : UMNO Bahagian Kota Marudu mengemukakan usul menuntut agar diberikan peluang bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketuanya, Datuk Ismarah Madcasar berkata, pihaknya melahirkan keyakinan untuk merampas semula kerusi ini berdasarkan situasi semasa sokongan padu rakyat kepada UMNO serta Barisan Nasional (BN) terutama di kawasan DUN Bandau.
Katanya, DUN Bandau dahulu dikenali sebagai DUN Langkon sebelum dimansuhkan pada tahun 1999 sekali gus kemudiannya diwujudkan semula PRN16 yang lalu.
“Kita akan mengulangi gesaan akan berusaha keras untuk memastikan DUN Bandau kembali menjadi milik UMNO pada PRN17 nanti. Ini tidak mustahil kerana berdasarkan track rekod ahli UMNO Kota Marudu yang sentiasa bekerja keras secara berterusan tanpa bermusim.
“Ini merupakan jaminan kita kepada UMNO Negeri Sabah. Kita kemukakan usul pada mesyuarat ini agar pucuk pimpinan memberikan peluang bertanding di DUN Bandau. Dalam mesyuarat tadi kelihatan kalangan ahli UMNO memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan untuk diberikan peluang bertanding di DUN Bandau, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perasmian Serentak Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu di sini hari ini.
Mesyuarat ini dirasmikan, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said.
Ismarah berkata, UMNO Bahagian Kota Marudu mempunyai beberapa pemimpin muka baharu yang boleh diketengahkan sekali gus berpotensi untuk menang sebagai calon pada PRN akan datang.
“Kerusi DUN Bandau kini disandang oleh Datuk Wetrom Bahanda yang menang sebagai calon parti BERSATU/PN pada PRN16 dengan majoriti 3,363.
“Beliau dahulunya merupakan ahli UMNO Kota Marudu, kemudiannya menyertai parti BERSATU/PN kemudian menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serterusnya menjadi calon di Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” jelas Ismarah.
Sementara itu dalam perkembangan sama, UMNO Kota Marudu mengemukakan usul kedua agar penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan pembangunan dapat diteruskan terutama di kawasan DUN Bandau ini.
“Tidak ada pertindihan peranan dengan pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini.
“Kita menegaskan, agar JKDM perlu diteruskan berikutan ia banyak memberikan manfaat kepada rakyat khususnya di kawasan DUN Bandau kerana ia merupakan inisiatif terbaik daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di peringkat persekutuan,” kata Ismarah.
Menurutnya, UMNO Bahagian Kota Marudu sekali lagi memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Ketua UMNO Sabah untuk mengetuai jentera PRN akan datang.
UMNO Kota Marudu kemuka usul tanding di DUN Bandau pada PRN akan datang – Ismarah
Advertisements