KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menekankan tata kelola klinikal sebagai rangka kerja untuk meningkatkan mutu perkhidmatan secara berterusan, dan mengekalkan tahap mutu penjagaan yang tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu dapat dicapai melalui langkah-langkah jaminan kualiti, penambahbaikan kualiti, serta pengurusan risiko dan insiden dengan berkesan.
“Langkah pertama, KKM akan terus memperkukuhkan latihan dalam pengurusan dan perawatan dalam kalangan petugas kesihatan bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan keselamatan pesakit.
“Setiap petugas kesihatan juga mempunyai akses kepada pakar perubatan dan sumber rujukan dalaman lain, agar mereka mendapat pemantauan dan panduan daripada petugas yang lebih kanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam Sesi Ucapan Kamar Khas Parlimen Sidang Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Dalam ucapannya Madius meminta penjelasan apakah langkah-langkah KKM untuk mengatasi ketidaktepatan dalam mendiagnosis penyakit bagi para pesakit yang mendapatkan rawatan di unit-unit kecemasan di hospital seluruh negara.
Menurut Dzulkefly, langkah kedua adalah dengan menekankan komunikasi berkesan antara pesakit dengan hospital dan klinik melalui pemberian pelan rawatan yang jelas kepada pesakit serta waris atau penjaga mereka.
“Langkah ini perlu agar pesakit boleh kembali ke hospital secepat mungkin sekiranya keadaan bertambah teruk atau mempunyai gejala tanda amaran.
“Untuk memudahkan proses ini, pihak hospital boleh melaksanakan konsultasi dalam talian dengan pesakit pasca discaj bagi membolehkan pemantauan di rumah yang berkesan dan mengelakkan kelewatan rawatan lanjutan,” jelasnya.
Ujar beliau, langkah seterusnya KKM akan membuat pemerkasaan proses secara berterusan dengan memastikan pengarah kesihatan negeri dan pengarah hospital mengenal pasti isu di setiap Jabatan Kecemasan & Trauma secara khusus dan mencari penyelesaian bersama.
Katanya, pelbagai platform telah wujud bagi menerima aduan seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (atau SISPAA), sistem incident reporting, pemantauan penunjuk prestasi utama (KPI), dan perbincangan di media sosial.
“Semua aduan ini perlu disiasat secara telus dan cepat bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang definitif agar perkara yang sama tidak akan berulang di samping sentiasa mengemaskini garis panduan amalan klinikal, yang merupakan sumber dan rujukan penting petugas barisan hadapan.
“Selain itu, KKM juga telah mengambil langkah memperkenalkan Malaysian Triage Scale 2022 untuk mengkategorikan pesakit mengikut tahap keterukan, seterusnya memastikan pesakit ditangani tepat pada masanya, dan diperuntukkan sumber yang sesuai.
“Ia dijalankan dengan pantas, dalam masa beberapa minit sahaja, untuk memudahkan aliran pesakit dan mengelakkan kesesakan yang tidak perlu,” tambah Dzulkefly.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memaklumkan langkah kelima yang diambil KKM adalah dengan membuat pemantauan KPI ‘Under-Triage’ di Jabatan Kecemasan & Trauma.
Jelasnya, ini adalah keadaan pesakit yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai kritikal telah diklasifikasikan sebaliknya semasa proses ‘triage’.
“‘Under-triage’ adalah serius, dan perlu dielakkan sama sekali.
“Ini dipantau dengan teliti melalui sistem pemantauan Penunjuk Prestasi Hospital Untuk Akauntabiliti (HPIA), yang menetapkan bahawa tahap ‘under-triage’ di semua Jabatan Kecemasan & Trauma harus berada di bawah 0.5 peratus.
“Izinkan saya tekankan sekali lagi, bahawa tata kelola adalah suatu proses berterusan yang memerlukan kerjasama semua, dan tata kelola klinikal adalah tidak terkecuali,” katanya.