Oleh Profesor Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin, Universiti Kebangsaan Malaysia
KOTA KINABALU: Nampaknya isu tunggakan gaji pemain bolasepak Liga Super Malaysia belum lagi selesai. Baru-baru ni peminat Sabah FC dikejutkan dengan aksi ‘4 jari’ yang ditunjukkan oleh oleh para pemain selepas menjaringkan gol. Para peminat mengandaikan sebagai simbol 4 bulan gaji tertunggak”. Namun pihak pengurusan kelab cuba menafikan dengan alasan isu ini tidak seteruk yang digambarkan. Namun artikel ini lebih menumpukan kepada kesan terhadap pemain dan pasukan jika berlakunya isu tunggakkan gaji. Ketidakstabilan kewangan dalam kalangan pasukan bola sepak bukan hanya menimbulkan masalah logistik tetapi juga menjejaskan aspek psikologi, prestasi, dan dinamik pasukan secara keseluruhan.
Teori Transactional Model of Stress and Coping (Lazarus & Folkman) menyatakan bahawa tekanan yang berlarutan tanpa sokongan yang mencukupi dapat menyebabkan tekanan kronik dan keletihan secara emosi (burnout). Situasi ini amat nyata di kalangan pemain yang mengalami tunggakan gaji. Masalah kewangan yang berterusan juga dapat meningkatkan risiko kemurungan dan kebimbangan di kalangan pemain bola sepak yang terkesan secara langsung oleh masalah kewangan ini. Menurut Teori Motivasi Herzberg, faktor kewangan dianggap sebagai faktor hygiene. Ketiadaan faktor ini boleh mengakibatkan ketidakpuasan yang tinggi dan mengurangkan motivasi intrinsik para pemain untuk memberikan prestasi terbaik mereka. Tekanan berpanjangan boleh mempengaruhi kemampuan kognitif seperti konsentrasi danjuga pemprosesan maklumat, yang penting dalam sukan berintensiti tinggi seperti bola sepak. Pemain bolasepak juga berkerja mencari nafkah bagi keperluan diri sendiri dan tanggungan mereka.
Teori Self-Determination Theory (Ryan & Deci) menyatakan bahawa motivasi ekstrinsik, termasuk gaji, adalah kritikal untuk mengekalkan komitmen pemain terhadap latihan dan pertandingan yang mungkin tidak memuaskan secara intrinsik. Ini turut mengaitkan tekanan dan kurangnya sumber daya dengan penurunan prestasi atlet, di mana tekanan mental dan fizikal yang meningkat boleh mengurangkan kemampuan mereka dalam permainan. Ketegangan isu kewangan dapat mencetuskan konflik interpersonal yang merosakkan semangat pasukan dan kerjasama. Terdapat kajian tentang kepimpinan mendapati bahawa krisis kewangan adalah ujian bagi keupayaan pemimpin dalam mengekalkan moral dan kesatuan di kalangan ahli pasukan. Ketidakpastian kewangan kelab turut mendorong pemain mencari peluang lain, menyebabkan ketidakstabilan dalam struktur dan komposisi pasukan.
Maka bolehlah rumuskan bahawa implikasi jangka panjang akan menjejaskan reputasi kelab terjejas. Masalah kewangan yang diketahui umum boleh merosotkan reputasi sebuah organisasi, menjadikannya sukar untuk menarik dan mengekalkan pemain sedia ada. Jika para pemain mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan mereka juga boleh meningkatkan kos dan memburukkan lagi imej kelab. Prestasi sukan yang terus menerus terjejas boleh mengakibatkan penurunan dalam pendapatan dan daya tahan kelab dalam jangka panjang. Peminat akan mula memboikot perlawanan dan pihak penaja turut kurang berminat untuk menaja.
Dengan merujuk kepada kajian-kajian dan teori yang relevan, jelas bahawa masalah tunggakan gaji yang berpanjangan boleh mempunyai kesan yang mendalam terhadap kesejahteraan psikologi pemain, prestasi individu dan keseluruhan pasukan, serta kestabilan struktur kelab bola sepak. Keadaan ini menuntut pemahaman mendalam dan tindakan segera dari semua pihak yang terlibat. Adalah diharapkan agar isu tunggakkan gaji pemain ini dapat diselesaikan secepat mungkin agar pemain dan pasukan dapat berfungsi dengan baik serta tidak menjejaskan reputasi kelab.