Kerajaan Persekutuan tidak beri komitmen ketara tuntutan 40 peratus Sabah

KOTA KINABALU: Tidak ada komitmen ketara yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap tuntutan 40 peratus Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D melalui kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri di Sabah baru-baru ini.

Advertisements

Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Nabila Norsahar berkata, kenyataan Perdana Menteri bahawa Sabah meraih peruntukan melebihi RM 16 bilion yang dikatakan jauh lebih tinggi dari 40 peratus yang dituntut Sabah adalah sangat mengecewakan.

Katanya, kenyataan sebegini seolah-olah mengenepikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah amat mengelirukan untuk mengkategori peruntukan persekutuan kepada negeri-negeri sebagai peruntukan khas dibawah Perkara 112C dan kerana kedua-dua ini adalah berbeza,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ketika merasmikan Pesta Kaamatan di Penampang pada 31 Mei lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan kepada Sabah meningkat dengan banyak hingga melebihi tuntutan hasil 40 peratus kerajaan negeri sejak beliau mengetuai Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata, tahun ini saja sebanyak RM16 bilion diberikan kepada negeri ini berbanding dana RM12.9 bilion diberikan kerajaan sebelum ini pada 2022.

Nabila berkata, di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya Sabah dan Sarawak yang diberikan peruntukan khas selaras dengan Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh manakala negeri-negeri lain diberikan peruntukan biasa di bawah Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan.

“Semakan (review) kepada peruntukan khas ini pula perlu dibuat berkala (interval) secara amnya lima tahun berselang.

“Di bawah Perkara 112C (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan Persekutuan perlu menyerahkan kepada Sabah dan Sarawak bagi setiap tahun kewangan,peruntukan berdasarkan kepada pengiraan di Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Manakala Perkara 112C (1)(b) pula menjelaskan bahawa Persekutuan perlu menyerahkan kepada Sabah dan Sarawak apa-apa hasil daripada cukai, fi dan perkara kena bayar (dues) dalam Bahagian V Jadual Kesepuluh Perlembagaan apa-apa yang dikutip, dilevi atau yang didapatkan (raised) dalam negeri Sabah atau Sarawak itu sendiri,” tambahnya.

Justeru itu, katanya, adalah sangat jelas bahawa kenyataan Perdana Menteri sebenarnya tidak mencerminkan keseluruhan pemberian yang patut diberikan kepada Sabah oleh Persekutuan.

Ini kerana, Nabila berkata, pemberian di bawah 109 Perlembagaan diterima oleh setiap negeri namun peruntukan khas di bawah Perkara 112C adalah satu hak Sabah yang nilainya tidak boleh dicantum atau dikira bersama pemberian di bawah Perkara 109 Perlembagaan.

Justeru itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu menunaikan hak Sabah ini pada masa sekarang dan bukan menyakinkan Sabah dengan komitmen yang mengelirukan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles