KOTA KINABALU: Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffrey Nor membayangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, “yang menikmati kehidupan yang selesa” tidak dapat merasai kesusahan dan derita rakyat biasa atau orang miskin di Sabah.
Jeffrey berkata sambil mengelak dipertanggungjawab, Hajiji dengan mudah mengalihkan tunpuan rakyat dengan memperli Ketua UMNO Sabah Datuk Bung Moktar Radin yang kononnya hidup dalam dunia khayalan (dalam alam fantasi seolah-olah tidak tahu apa-apa) hanya kerana Bung terus membangkitkan permasalahan rakyat.
Menyangkal tanggapan itu, Jeffrey berkata tohmahan terhadap Bung seumpama itu merupakan strategi Hajiji untuk mengelirukan rakyat, terutama mereka yang mudah percaya, pada hal ia hanya sekadar retorik kosong.
Media sebelum ini melaporkan lapan daerah di Sabah masih dalam kategori termiskin di Malaysia iaitu Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan.
“Nampaknya Hajiji maaih lagi dalam mod penafian, dan Hajiji beranggapan dengan mengatakan Bung hidup dalam dunia fantasi, semua rakyat akan percaya dan terus menyokong kerajaan GRS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jeffrey, yang juga Ketua UMNO Putatan berkata sebagai Ketua Menteri, Hajiji seharusnya serba mengetahui dan faham tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk menangani pelbagai isu yang dihadapi rakyat di negeri ini, dan bukan mengalihkan apa-apa masalah kepada pembangkang dan mengelak ditanggungjawab atau tidak mahu nama baik kerajaan GRS tercalar.
Tianggapan Hajiji bahawa Datuk Bung Moktar Radin jahil tentang permasalan rakyat adalah tidak masuk akal dan tidak ada kredibiliti.
“Ramai rakyat yang tidak puas hati dengan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah asas dan infrastruktur seperti jalan raya yang rosak, kerap terputus bekalan elektrik dan masalah bekalan air, apatah lagi masalah ekonomi,” tambahnya.
Sehubungan itu, Jeffrey menyokong penuh kenyataan Bung bahawa kerajaan GRS masih gagal memenuhi harapan rakyat dan gemar berjanji kosong.