Klien dalam pengawasan AADK – Beri peluang ke-2 – Zaki Susanto

TAWAU: Klien yang berada dalam tempoh pengawasan dua tahun di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) perlu diberikan peluang ke-2 oleh semua pihak supaya proses pemulihan mereka dapat dikekalkan.

Advertisements

Dalam masa yang sama, sokongan sosial daripada keluarga terdekat berupaya mencegah mereka daripada kembali kepada ketagihan.

Mohd. Zaki Harry Susanto, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Tawau berkata, kejayaan program ‘Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti’ (RPDK) AADK amat bergantung kepada penerimaan keluarga selain keterbukaan masyarakat untuk memberikan peluang ke-2 kepada para klien.

“Untuk meneruskan kelangsungan hidup, klien dalam pengawasan AADK perlu diberikan peluang ke-2 kerana selain berdepan cabaran penerimaan keluarga serta masyarakat, mereka juga berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

“Apa yang membimbangkan, tekanan hidup yang mereka hadapi akan kembali menjerumuskan mereka kepada masalah ketagihan sekaligus berisiko melakukan jenayah,” katanya.

Zaki berkata demikian selepas ‘Majlis Ihya’ Ramadhan Bersama Klien AADK Tawau’ di Masjid Hidayatul Iman, Merotai Besar, Tawau.

Turut hadir Haji Ramli Bin Basri, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Hidayatul Iman, Merotai Besar, Nooraini Binti Abdul Rashid, Ketua Daerah AADK Tawau dan Mohd. Shahir Bin Bakri, wakil Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Menurut Zaki, para klien adalah sumber tenaga manusia yang boleh dioptimumkan kerana sebahagian besar daripada mereka masih berumur di bawah 50 tahun.

“Umpamanya bagi klien di bawah seliaan AADK Daerah Tawau, daripada sejumlah 387 orang yang berada dalam tempoh pengawasan, seramai 370 orang klien adalah berumur di bawah 50 tahun dan hanya 17 orang klien sahaja yang berusia melebihi 50 tahun.

“Mereka perlu diberikan peluang ke-2 kerana pengabaian atau penolakan mereka adalah satu pembaziran sumber tenaga manusia,” katanya.

Dalam hal ini, Zaki menyeru para majikan khasnya pihak swasta membuka pintu kepada para klien untuk mengisi jawatan bersesuaian di tempat mereka.

“Kita juga berharap ada agensi kerajaan yang boleh membantu para klien memulakan perniagaan dengan cara menyediakan tapak berniaga maupun modal permulaan,” katanya,

Pada majlis tersebut, seramai 36 orang klien yang berkelayakan di bawah seliaan AADK Daerah Tawau menerima sumbangan Aidilfitri daripada pihak Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah selain turut diisi dengan program tazkirah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles