Kerajaan Negeri setuju dengan pembangunan industri berasaskan kelapa di Paitan, DUN Sugut*

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri GRS telahpun bersetuju dengan rancangan pembangunan industri berasaskan kelapa di kawasan DUN Sugut, yang bakal melonjakkan ekonomi dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan tersebut.

Advertisements

Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai diantara Kerajaan Negeri dan Linaco Resources Sdn Bhd dalam satu majlis yang diadakan di sini pada Isnin (Mac 22).

Ia ditandatangani oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, bagi pihak Kerajaan Negeri, and Peter Ling In Nin, Pengarah Eksekutif Linaco Resources Sdn Bhd. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib, yang juga merupakan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, juga turut hadir menyaksikan penandatanganan tersebut.

James berkata dengan tertandatangannya MoU tersebut, syarikat pengeluar produk berasaskan buah kelapa di Malaysia iaitu Linaco Resources Sdn Bhd telah diberikan kawasan seluas 5,000 ekar di Paitan, dalam kawasan DUN Sugut, untuk diusahakan secara usahasama dengan tanaman kelapa santan.

Syarikat tersebut juga akan membuka kilang pemprosesan buah kelapa, pusat pengumpulan buah kelapa, pusat latihan dan sebagainya, katanya.

“Ini bukan hanya akan melonjakkan ekonomi setempat di DUN Sugut, tetapi juga memberikan banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh anak-anak tempatan, khususnya orang-orang Sugut.

“Rakyat juga boleh bekerjasama dengan syarikat tersebut secara pertanian kontrak,” kata James.

Pembangunan ini, yang merupakan hasil inisiatif oleh James yang melawat syarikat tersebut semasa menyertai lawatan kerja bersama Ketua Menteri ke Kuala Lumpur pada bulan lalu, juga membantu mempercepatkan cadangan naiktaraf daerah kecil Paitan menjadi daerah penuh dalam masa terdekat.

James, dalam kenyataannya sebelum ini, menggalakkan petani di negeri Sabah untuk mengusahakan tanaman kelapa secara komersial bagi memenuhi keperluan produk berasaskan tanaman itu yang semakin mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dalam pasaran negara bahkan luar negara.

“Produk berasaskan kelapa khasnya santan dan minyak kelapa amat tinggi permintaan di peringkat pasaran dalam dan luar negara, namun demikian, pengeluaran kelapa di negeri Sabah masih belum cukup untuk memenuhi permintaan syarikat tertentu,” jelas James.

James turut menjelaskan, Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah telahpun mengadakan rundingan dengan syarikat tempatan negara yang berpusat di negeri Selangor tersebut agar memperluaskan perniagaannya ke negeri Sabah untuk meningkatkan pengeluaran produk kelapa termasuk membantu para peladang kelapa memasarkan hasil kelapa dengan lebih teratur.

Katanya, syarikat berkenaan merupakan sebuah syarikat pengeluar santan kelapa terbesar negara yang terletak di tangga kesepuluh terbaik dunia.

Permintaan harian bekalan kelapa yang diperlukan Linaco Resources Sdn Bhd adalah sekitar 500,000 biji sehari bagi penghasilan santan yang berkualiti tinggi.

“Hasil perbincangan antara Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah dengan Pengurusan syarikat tersebut, maka mereka bersetuju untuk membuka satu pusat penggumpulan kelapa di negeri Sabah dalam masa terdekat dalam tahun ini.

Lokasinya adalah di sebuah kawasan lapang berdekatan dengan persimpangan Kota Marudu dan Kudat.

“Ini memberikan peluang kepada para pengusaha kelapa di negeri Sabah meraih pendapatan lumayan sekaligus meningkatkan hub pengeluaran produk berasaskan kelapa daripada negeri Sabah,” tegas James.

Katanya lagi, dua jenis kelapa yang sesuai untuk produk santan berkualiti diperlukan oleh Syarikat Linaco Resources Sdn Bhd iaitu kelapa jenis ‘Taccunan’ dan ‘Mataq’ yang mana kedua-dua baka kelapa ini amat sesuai dengan iklim tanaman di negeri Sabah.

“Saya difahamkan syarikat tersebut menawarkan harga sekitar RM0.80 sen hingga RM1.20 setiap satu biji kelapa jika dijual secara langsung ke pusat penggumpulan mereka.

“Ia suatu potensi yang baik untuk menggalakkan para peladang dan petani kelapa mencuba baka tersebut untuk penanaman secara komersial,”jelasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles