KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis projek Lok Kawi Resort City yang dijangka menelan belanja RM7 bilion bakal memberi pulangan jangka masa panjang kepada negeri Sabah.
Beliau berkata walaupun projek itu dijangka siap dalam masa lebih kurang 15 tahun, namun projek pembangunan tersebut berbaloi untuk dinantikan detik siapnya kelak oleh seluruh rakyat di negeri ini.
Projek Lok Kawi Resort City yang diusahakan bersama syarikat Tegas Bangsa Sdn dengan Kumpulan Pavilion merupakan projek pembangunan bercampur —Â mengandungi pejabat, perumahan, hotel, pusat membeli belah dan taman tema.
Beliau berkata projek Lok Kawi Resort City akan membuka ruang yang luas untuk kemasukan pelabur, pembeli hartanah dan pelancong dalam dan luar negara.
“Kita sedar bahawa buat masa ini kekangan pandemik COVID-19 mengehadkan kemasukan pelancong luar, namun saya yakin dengan pelaksanaan vaksinasi secara menyeluruh menjelang akhir tahun ini, negeri Sabah yang kaya dengan tarikan pelancongan akan kembali aktif menerima pelancong-pelancong dari luar negara sekali gus merancakkan kembali ekonomi negeri,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Lok Kawi Resort City di Sabah International Convention Centre, dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.
 Katanya kerajaan persekutuan akan sentiasa memberikan sokongan dan perhatian terhadap pelan pembangunan termasuk hartanah.
“Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah berani mengorak langkah untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama bersama pelabur luar dalam melaksanakan projek-projek pembangunan secara Private Finance Initiative atau PFI dengan lebih meluas,” katanya.
Muhyiddin turut mengulangi pendirian kerajaan persekutuan yang akan memastikan Sabah mendapat layanan yang adil dalam semua aspek.
“Hasrat ini telah pun direalisasikan dengan pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah Sarawak dalam kabinet persekutuan untuk membolehkan lebih banyak perhatian diberikan terhadap negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga komited untuk mengurangkan jurang pembangunan di negara ini sebagaimana yang ditekankan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Sebagai Kerajaan Prihatin Rakyat, dalam tempoh lebih setahun menerajui negara, kerajaan telah mengambil langkah berani dan proaktif dalam keadaan pentadbiran yang serba mencabar.
“Kita semua maklum bahawa negara kita tidak terlepas daripada cabaran besar pandemik COVID-19. Kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pada masa yang sama memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion,” kata beliau.
Beliau berkata lanckah itu diambil bagi membendung penularan COVID-19 dan pada masa yang sama meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan ekonomi.
” Alhamdulillah, selepas setahun, keadaan ekonomi negara kita kini mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Jika dibandingkan, pada bulan April 2020, ekonomi menguncup 28.7 peratus, tetapi pada bulan Disember 2020, ekonomi negara kita hanya menguncup 1.7 peratus.
“Kadar pengangguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.8 peratus pada bulan Disember 2020,” katanya.
Muhyiddin berkata pandemik COVID-19 memberi kesan yang besar kepada masalah pengangguran di negara ini.
Pada tahun 2020 sahaja, katanya sebanyak 107,024 kes pemberhentian kerja dilaporkan manakala 14,273 kes lagi dilaporkan sehingga bulan Februari 2021.
Bagi mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran, beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara atau MPN yang merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar dan strategi serta pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan.
Muhyiddin berkata MPN menyasarkan pewujudan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini pada tahun ini.
Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, beberapa pemangkin telah dikenal pasti dalam memacu pembangunan Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pemangkin-pemangkin itu termasuk membangunkan bakat tersedia masa hadapan, mempercepat penerima gunaan teknologi termaju dan inovasi, memperkukuh ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta mengukuhkan sektor awam supaya lebih cekap, katanya.
Muhyiddin yakin kerajaan Sabah melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan dapat membela nasib anak-anak muda terutama yang masih menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan.