KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya akan menggalas tanggungjawab besar memastikan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini terus berkembang pesat dan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.
Beliau yakin, sokongan dan dukungan besar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembangunan PMKS termasuk menyediakan peruntukan pembiayaan yang besar akan merancakkan lagi pembangunan PMKS di negara ini.
“Selaku kementerian yang menerajui pembangunan PMKS, saya amat menghargai dukungan besar yang diberikan oleh Perdana Menteri termasuk menyediakan peruntukan pembiayaan dan latihan keusahawanan yang diperlukan oleh komuniti PMKS negara.
“Ini termasuk memberi peranan kepada agensi di bawah kementerian saya iaitu Tekun Nasional menjadi antara peneraju Dana Pembiayaan Kredit Mikro Bumiputera sebanyak RM1 bilion yang memberi penekanan kepada golongan wanita, belia dan veteran tentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa pengumuman Perdana Menteri dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), di PICC, hari ini.
Ewon berharap, dana yang diumumkan itu akan meningkatkan lagi penyertaan usahawan wanita, belia dan veteran tentera dalam keusahawanan.
Beliau turut menyokong penuh saranan Perdana Menteri supaya semua hadiah berbentuk cenderakenangan semasa sambutan para pemimpin luar negara yang datang ke Malaysia daripada kraftangan tempatan sebagai sokongan kepada industri kraftangan tempatan.
“Saya sentiasa percaya bahawa gerakan keusahawanan dan koperasi serta gerakan pendidikan boleh menjadi benteng kemiskinan, iaitu satu lagi isu yang dikupas oleh Perdana Menteri bersempena dengan kongres ini,” katanya.