KOTA KINABALU: Bekas Menteri Persekutuan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menekankan bahawa tidak sepatutnya ada warga atau keluarga persendirian yang lebih kaya daripada kekayaan yang dimiliki negara.
Beliau berkata perkara seumpama itu tidak seharusnya dibenarkan wujud sehingga boleh menjejaskan kepentingan umum negara atau negeri serta demokrasi.
“Jika wujud keadaan yang mana rakyat atau keluarga persendirian jauh lebih kaya daripada perbendaharaan negara, mereka secara efektifnya akan mempunyai kemampuan untuk mengawal dan mempengaruhi keputusan utama kerajaan serta sistemnya.
“Saya berpendapat inilah yang hendak dijamin oleh kerajaan sekarang kepada rakyat negara ini,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Susulan itu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata kerajaan yang ada ketika ini mungkin memerlukan warga atau keluarga yang memiliki kekayaan bersih yang luar biasa untuk mengisytiharkan aset mereka agar kekayan sebenar mereka dapat dipastikan.
“Usaha ini akan memberi kesan jangka panjang yang positif kepada rakyat dan negara.
“Amalan pengisytiharan aset yang betul dan pencukaian yang saksama adalah pendekatan positif yang harus dialu-alukan oleh semua pihak terutamanya golongan teramat kaya,” katanya.
ADUN Usukan itu berkata prinsip dan dasar untuk memastikan bahawa tiada warga atau keluarga persendirian yang lebih kaya daripada negara, telah diamalkan oleh kebanyakan kerajaan dan negara maju.
“Ini adalah usaha yang nyata untuk mewujudkan tadbir urus yang baik dan memastikan pengagihan kekayaan yang saksama bagi mencapai suasana ekonomi yang baik dan makmur,” katanya.