KOTA KINABALU: Tindakan Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Johair Matlani yang mengumumkan meninggalkan parti itu semalam tidak menjejaskan kedudukan KDM dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung KDM, Dr Gaim Lunkapis berkata, beliau telah maklum lebih awal berhubung perkara itu selepas Johair sendiri memberitahu hasrat beliau untuk meletak jawatan dengan alasan menghadapi masalah keluarga.
“Saya ingat pihak atasan parti KDM juga maklum awal keadaan beliau kerana sebelum ini beliau pernah menyuarakan masalah keluarga yang sangat kritikal.
“Ini termasuk kedudukan rumah mereka yang akan dilelong namun KDM telah membantu mereka untuk menyelesaikan hutang berkenaan secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Gaim berkata, parti KDM sedar yang mereka kini tidak mempunyai sebarang jawatan dalam negeri namun mereka percaya ia hanya bersifat sementara.
“Saya percaya ini cumalah bersifat sementara dan yakin KDM akan beroleh kemenangan di kawasan-kawasan yang dipilih seterusnya akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Negeri kelak.
“Apa pun kami menerima perletakkan jawatan beliau secara baik dan ia tidak akan mengugat kedudukan KDM pimpinan yang dipimpin Datuk Presiden (Peter Anthony) dan Datuk Timbalan Presiden (Wetrom Bahanda).
“Sudah menjadi lumrah dalam politik, pemimpin datang dan pergi (daripada sesebuah parti), KDM mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau (Johair), apa yang penting kekuatan dan perjuangan kita tidak akan goyah, parti ini (KDM) akan terus berjuang untuk rakyat,” katanya.
Terdahulu, Johair semalam mengumumkan keluar daripada parti KDM dan menyatakan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu majlis yang diadakan di salah sebuah hotel di Beaufort yang turut dihadiri Ketua Bahagian GRS Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.
Ketika mengumumkan perkara itu, Johair turut mengucapkan terima kasih kepada Peter kerana kesungguhannya dalam menempatkan KDM bersama barisan parti-parti di Sabah serta di persekutuan.
“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada presiden KDM dan seluruh keluarga besar KDM kerana memberi kepercayaan selama ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Gaim mengulangi pendirian bahawa KDM akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pendirian kita kekal dan jelas, iaitu terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.