KOTA KINABALU: Timbalan presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masidi Manjun mengajak rakyat Sabah, khususnya penyokong Gagasan Rakyat supaya bersatu memperkukuhkan niat dan perjuangan sebagai “khidmat negara” (National Service) untuk Sabah.
Menurutnya perjuangan anggota parti itu mesti berasaskan niat yang betul.
Masidi berkata keazaman dan komitmen merupakan aset penting untuk memperkuat demokrasi dan membawa perubahan positif kepada parti dan negeri ini.
“Namun semua ini hanya boleh direalisasikan dengan niat yang tulus dan ikhlas. Dikalangan anda semua pastinya ada seribu satu sebab untuk bersama menyertai Gagasan Rakyat.
“Anggaplah perjuangan anda sebagai satu National Service untuk Sabah. Berjuang dengan ikhlas demi kebaikan masyarakat, bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.
“Perjuangan ini bukan sahaja sebagai pemimpin atau ahli Gagasan Rakyat, tetapi perjuangan sebagai “Anak Sabah” yang mencintai negeri ini,” katanya.
Masidi berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian persidangan agung sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis di SICC dekat sini hari ini.
Beliau berkata sebagai parti lokal, Gagasan Rakyat mempunyai tanggungjawab khusus untuk mewakili suara dan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita tidak hanya memperjuangkan hak Sabah di peringkat nasional, tetapi juga memastikan bahawa setiap keputusan dan inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri,” katanya.
Menurut Masidi konsep ‘Sabah First’ bukan sekadar slogan, tetapi manifestasi dari komitmen kita untuk memastikan kepentingan Sabah sentiasa diutamakan.
“Sebagai parti lokal, PGRS harus berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, memastikan bahawa suara mereka didengar dan aspirasi mereka direalisasikan,” katanya,