KOTA KINABALU: Semua Ketua Penerangan di peringkat bahagian perlu menyerlah dan memahami peranan serta tugas mereka agar isu semasa disampaikan kepada seluruh ahli UMNO di peringkat akar umbi.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, jawatan ini sangat penting bagi memastikan setiap bahagian tersebut berfungsi sepenuhnya sekali gus berupaya menangani isu yang dilontarkan oleh pihak lawan.
Katanya, bahagian atau parti itu akan bersinar serta kurang menyerlah adalah bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan Ketua Penerangan menjalankan peranannya.
“Kita mahu semua Ketua Penerangan ini akan dibentuk, dilatih serta diberikan ilmu se cukupnya agar selaras dengan tugas serta fungsinya sebelum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kita tidak mahu pada PRN nanti ada kalangan Ketua Penerangan peringkat Pemuda, dan Puteri menjadi pasang poster dan kemaskini data. Ini bukan tugas serta fungsi utama mereka.
“Mereka perlu ada kekuatan serta bijak menggunakan ruang sedia ada khususnya di platform media sosial untuk memberi serta mencari maklumat untuk diberi penerangan kepada ahli dan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Retreat Penerangan UMNO Negeri Sabah di sini hari ini.
Suhaimi merupakan Ahli Parlimen Libaran berkata, sekiranya ketua penerangan tersebut aktif sudah tentu setiap bahagian tersebut akan berfungsi sepenuhnya manakala jika kurang aktif akan menjadi penyebab kepada gagal dalam melaksanakan tugasnya.
“Kita akan rancang lagi kursus seperti ini dalam tempoh terdekat, memang ada keperluan untuk memantapkan lagi penguasaan dalam kalangan ketua penerangan terutama dalam teknik penguasaan pengucapan awam.
“Kita mahu semua Ketua Penerangan ini bersiap sedia untuk menjadi penceramah serta pemidato kepada majlis tertentu terutama pada PRN akan datang,” katanya.