TUARAN: Keputusan merobohkan jambatan bengkok bernilai RM18 juta, menghubungkan pekan Tuaran dengan Sungai Damit, merupakan perkara serius yang memerlukan siasatan menyeluruh, akauntabiliti terhadap sebarang salah laku, dan komitmen untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya pengguna jalan raya.
Setiausaha Agung Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Dr Gaim James Lunkapis, berkata ketelusan dan komitmen untuk mencegah kejadian serupa pada masa depan adalah penting dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan selain memastikan keselamatan awam.
“Sebuah firma kejuruteraan bebas atau agensi kerajaan wajar ditugaskan untuk melakukan siasatan. Siasatan mendalam terhadap pembinaan jambatan asal perlu dijalankan, bukan hanya oleh jurutera JKR.
“Ini mungkin melibatkan pemeriksaan pelan tindakan, permit pembinaan, bahan yang digunakan, dan proses pembinaan sebenar.
“Sekiranya siasatan mendapati jambatan bengkok itu dibina menggunakan bahan tidak berkualiti, mutu kerja yang kurang baik, atau disebabkan sebarang bentuk rasuah atau kecuaian, pihak yang bertanggungjawab perlu diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Daim berkata ini mungkin melibatkan tindakan undang-undang terhadap kontraktor, pengurus projek atau pegawai kerajaan yang menyelia projek itu.
Beliau berkata analisis terperinci kos yang ditanggung dalam pembinaan asal dan anggaran kos pembinaan jambatan baharu perlu dijalankan.
“Ini akan membantu dalam siasatan sama ada wujud penyelewengan atau ketidakcekapan yang membawa kepada keperluan untuk membina jambatan baharu yang mahal.
“Dapatqn penyiasatan itu harus didedahkan kepada umum dan mudah diakses,” katanya.
Daim berkata, jika kontraktor didapati bersalah, mereka harus bertanggungjawab ke atas kos yang berkaitan dengan perobohan dan pembinaan semula jambatan itu.
“Ini mungkin melibatkan tindakan undang-undang atau rundingan. Kajian semula ke atas pengawasan kerajaan dan mekanisme kawalan kualiti harus dijalankan untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang pada masa hadapan,” katanya.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib dipetik sebagai berkata bahawa jambatan yang menghubungkan pekan Tuaran dengan Sungai Damit akan dirobohkan selepas kajian mendapati ia tidak selamat.
Beliau berkata, bagaimanapun, jambatan baharu akan dibina di lokasi yang sama.
Hanifah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai status jambatan itu semasa persidangan Dewan Rakyat.