KOTA BELUD: Mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui pada hari ketiga usaha mencari dan menyelamat di sepanjang tepi sungai berdekatan Daradaat View, Kg Ratau, dekat sini.
Qiezlle Uyiko ditemui pada jam 10.20 pagi tadi, kira-kira 5 kilometer dari lokasi kejadian.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah sebelum ini dilaporkan menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS999 mengenai insiden lemas itu pada 28 Ogos.
Menurut saksi, mangsa dilaporkan lemas di bawah Jambatan Gantung Daradaat View semasa melakukan aktiviti mandi manda bersama keluarga pada jam 2.30 petang.