Kejayaan anak-anak bergantung kepada kerjasama semua pihak- Julita

MATUNGGONG: Semua pihak perlu memastikan semua kanak-kanak sekolah diberikan sokongan yang padu untuk mereka mencapai cita-cita masing-masing, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong, Datuk Julita Majungki.

Advertisements

“Saya menegaskan bahawa semua pihak bermula dengan ibu bapa, ketua-ketua kampung, Pengerusi-pengerusi JPKK, imam-imam serta pengurus gereja yang murid-murid SMK Sikuati ll ini berada dalam kawalan masing-masing perlu menjalankan tugas mereka secara lebih berkesan.

“Apabila kita jalankan tugas dengan berkesan, proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah rendah (SR) akan lebih teratur dan menyeronokkan.
“Kesan yang baik sudah tentu akan menentukan hala tuju kepada pembelajaran mereka di sekolah menengah (SM),” katanya.

Menurut Julita, kejayaan cemerlang murid-murid dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah salah satu jalan untuk menggapai pelbagai kejayaan dalam sepanjang kehidupan mereka.

“Pendidikan adalah salah satu kaedah terbaik untuk mengubah status socio-ekonomi individu, keluarga, masyarakat, negeri dan negara pada masa akan datang. Tetapi, kejayaan seperti yang kita impikan ini tidak datang dengan jalan mudah.

“Semua kejayaan yang kita capai,yang kita lihat serta yang kita nikmati hari ini bermula dengan usaha, kudrat, perjuangan, pengorbanan serta titisan keringat dan air mata ibu bapa serta para pemimpin terdahulu.

“Tanpa usaha bersungguh-sungguh serta kerjasama padu serta berterusan kita tidak akan dapat melihat kejayaan,” kata beliau.

Tambahnya lagi, kemajuan dan kejayaan sekolah dipengaruhi oleh komitmen bersama terhadap mencapai visi dan misi sepunya yang telah digariskan oleh pihak sekolah.

Julita yang juga merupakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata demikian sempena Pelancaran Program Deklarasi (Deksil) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan (MAK) SMK Sikuati II, Kudat yang diadakan di sini pada Rabu(23 Ogos).

Ujar beliau, program Deklarasi ini adalah satu menifestasi kepada pengukuhkan semula komitmen serta kesungguhan warga pendidikan di sekolah tersebut ke arah kemenjadian murid-muridnya.

“Saya melihat bahawa kejayaan sesuatu program atau sebarang bentuk perancangan di pelbagai peringkat banyak bergantung kepada kerjasama semua pihak yang terlibat.

“Kepada semua Guru Besar dan guru-guru Feeder School SMK Sikuati ll, tanggungjawab kalian begitu besar dan cukup signifikan kepada survival anak bangsa kita dalam dunia penuh cabaran ini.
“Saya mohon kepada kalian semua bantulah SMK Sikuati ll agar setanding dengan sekolah-sekolah lain seperti SMK Matunggong, SMK Pinawantai dan SMK Sikuati kawasan ini,” katanya.

Julita berkata, kejayaan SMK Sikuati ll amat bergantung kepada kualiti murid-murid Tingkatan 1 yang akan memasuki sekolah menengah pada tahun-tahun akan datang.

Justeru beliau mengucapkan tahniah kepada para penjawat awam Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di kawasan DUN Matunggong.

“Laporan yang saya terima ialah kamu adalah antara pasukan yang sangat berdedikasi, bertanggungjawab dan menjadi contoh yang baik kepada para pelajar. Jika budaya ini diteruskan, nescaya kita pasti berhasil mencapai sasaran kita.

“Sesungguhnya, kejayaan program SMK Sikuati ll ini banyak bergantung kepada kerjasama yang padu serta berterusan dalam kalangan warga sekolah ini terutama warga pendidikan sekolah rendah serta para pemegang taruh di DUN Matunggong ini.

“Harapan saya sebagai pemimpin di kawasan ini ialah agar kita dapat mengubah ‘kelok’ atau geraf pencapaian di sekolah ini. Teruskan usaha,” kata beliau.

Julita turut berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada warga SMK Sikuati Il dan berharap kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan akan sentiasa ditingkatkan demi memastikan murid di sekolah ini terus mengecapi kejayaan.

“Keputusan dan tindakan kita pada hari ini besar impaknya kepada masa depan anak-anak kita khususnya di SMK Sikuati ll dan DUN Matunggong amnya.

“Kita menuai apa yang kita tabur. Marilah bersama-sama usahakan agar Matunggong lebih maju dan sejahtera,” jelas beliau.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Sekolah Mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Haji Sani Paijo; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Kudat memangku Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Matius Alok; Pengetua SMK Sikuati Il merangkap Pengerusi Program Deklarasi (DekSll) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan (MAK) SMK Sikuati ll Tahun 2023, Pandir Lodah; PPM N5 Matunggong, Epson Kawahui; Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Matunggong, Somuil Mojiun; Yang DiPertua PIBG SMK Sikuati ll Kudat, Arhad Shah Angkangon; Pegawai Daerah Kudat, Rusdi Belun; Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Besar, para Penolong Kanan dan lain-lain.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles