Parti nasional lebarkan sayap ke Sabah atas permintaan rakyat Sabah sendiri ? Rakyat Sarawak tidak pelawa parti nasional

Oleh Penganalisis Politik Musli Oli

Advertisements

KOTA KINABALU: Percubaan menolak parti-parti nasional di Sabah berpunca daripada kurangnya pengetahuan sejarah politik sebahagian besar rakyat negeri itu. Parti-parti itu berada di bumi Sabah adalah atas jemputan dan permintaan daripada rakyat Sabah. Ini yang membezakan Sabah dan Sarawak. Rakyat Sarawak tidak mempelawa parti nasional seperti pemimpin Sabah.

Hakikatnya kehadiran parti politik nasional sangat penting dalam mengimbangi keadaan politik negeri kerana terdapat kecenderungan kerajaan Sabah menjadi kerajaan “diktator” jika parti tempatan berkuasa sepenuhnya. Ini berlaku semasa pemerintahan USNO dan BERJAYA.

Semasa pemerintahan USNO (1967-1976) parti gabungannya SCA hanya jadi boneka. Dan parti tempatan lain seperti USAP (United Sabah Action Party) yang ditubuhkan Kalakau Untol pada tahun 1970an tidak dapat bersuara bagi pihak rakyat. Setiap aktiviti parti di kekang. Malah pergerakan pemimpin-pemimpin parti dijaga rapi pihak polis.

Rakyat yang mahukan pembelaan telah menjemput parti-parti pembangkang dari Semenanjung seperti PEKEMAS dan DAP. Sayugia diingat parti-parti itu tidak masuk tanpa dijemput. Begitu juga dengan sejarah kemasukan parti UMNO dan parti-parti nasional yang lain.

Sejarahnya bermula sejak awal 1960-an, iaitu sebelum penubuhan Malaysia apabila Datu Mustapha mempelawa Tunku Abdul Rahman mengembangkan sayap UMNO ke Sabah, tetapi Tunku menolak. Hasrat itu dihidupkan semula oleh sekumpulan pemimpin muda USNO diketuai Yahaya Lampong dan Karim Ghani pada pertengahan 1970-an, tetapi kali ini Tun Mustapha pula menolak sebab dia masih marah dengan perbuatan UMNO mendalangi Berjaya menjatuhkan USNO.

Ketika politik Sabah bergelut dengan percaturan kuasa antara PBS, USNO dan BERJAYA pada pertengahan 1980-an, UMNO menunjukkan minat untuk masuk ke Sabah. Tetapi niat itu terhalang apabila UMNO sendiri berhadapan dengan krisis pergelutan kuasa antara Team A yang diketuai Mahathir dengan Team B yang berketuakan Tengku Razaleigh Hamzah.

Hanya pada 1990 ia memuktamadkan kehadirannya di Sabah. Alasan besarnya adalah kerana lima hari sebelum PRU 1990 apabila PBS diketuai Datuk Joseph Pairin Kitingan (sekarang Tan Sri) ‘mengkhianati’ BN dengan membawa partinya keluar meninggalkan gabungan itu dan menyokong Gagasan Rakyat, sebuah gabungan parti yang diketuai Tengku Razaleigh. Waktu itu Pairin yakin BN akan tumbang dan Tengku Razaleigh akan menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan BN kerana pada penamaan calon BN telah memperuntukkan 14 kerusi untuk ditandingi PBS. Apabila PBS keluar bermakna ia membawa Bersama calon-calon yang telah dinamakan untuk kerusi berkenaan. Pengkhianatan saat-saat akhir seperti ini boleh berlaku di masa akan datang.

Sebelum UMNO masuk ke Sabah, parti-parti politik di negeri itu terlalu bergantung kepada ketua dan pucuk pimpinannya. UPKO sejak awal penubuhannya bergantung kepada ketokohan Donald Stephens sungguhpun ada beberapa orang pemimpin lain seperti Peter Mojuntin. Donald Stephens merupakan ‘Huguon Siou’ pertama kaum Kadazandusun. Begitu juga USNO yang terlalu bergantung kepada Tun Mustapha.

Kehadiran UMNO sedikit sebanyak telah merubah keadaan. Sungguhpun pada peringkat awal, pengaruh dan kehadiran Tun Mustapha begitu penting, namun selepas itu UMNO Sabah tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pucuk pimpinan. Kesetiaan kepada pemimpin telah beralih kepada kesetiaan kepada parti dan organisasi. Dalam tempuh 32 tahun, UMNO Sabah bertukar Ketua Perhubungan sebanyak enam kali.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles