Pedagogi sukar dihasilkan pendidik Malaysia diiktiraf berimpak tinggi di Indonesia 


Oleh Norani Abd Rahim
 
KOTA KINABALU: PEDAGOGI Sukar yang dihasilkan oleh Pensyarah Cemerlang dan Guru Cemerlang di Malaysia diiktiraf sebagai pedagogi berkualiti dan berimpak tinggi oleh Institut Pendidikan Indonesia (IPI) ketika berlangsungnya Workshop Pedagogi Sukar Global dan Kewirausahaan di Garut, Indonesia baru-baru.
 
Sijil pengiktirafan itu diterima oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) khususnya Majlis Pensyarah Cemerlang atas inisiatif mencetus dan membangunkan Pedagogi Sukar: 77 Kaedah dan Teknik oleh Pensyarah Cemerlang dan Guru Cemerlang yang diterbitkan dalam dua jilid.
 
Pedagogi Sukar merupakan solusi kaedah dan teknik dalam penyampaian pedagogi guru yang berhalangan. Antara halangan dan cabaran yang dihadapi termasuklah pemahaman isi kandungan, infra dan infostruktur, peraturan dan undang-undang, intrapersonal, kurang minat belajar, komuniti serta bahasa, etnik dan budaya.
 
Melalui Program Outreach Pedagogi Sukar yang dijalankan di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, ternyata kesukaran amat rencam dan bergantung kepada lokasi, masyarakat dan budaya di sesuatu kawasan.
 
Inisiatif terus dilaksanakan dengan terhasilnya buku Pedagogi Sukar : 77 Kaedah dan Teknik oleh Pensyarah Cemerlang dan Guru Cemerlang dari seluruh negara. Bukan itu sahaja, penulisan kaedah dan teknik ini turut dikongsi oleh pensyarah dari Institut Pendidikan Indonesia, Garut, Indonesia dan juga Guru Kanan dari Singapura.
 
Hal ini bermakna, setiap negara tetap menghadapi pelbagai kesukaran dan situasi ini dikongsi oleh penulis luar negara ini tentang solusi kepada kesukaran penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mereka.
 
Dalam Workshop Pedagogi Sukar Global & Kewirausahaan selama tiga hari tersebut, pelbagai teknik dipelkenalkan kepada pensyarah, guru dan mahasiswa di daerah sekitar Garut, Indonesia oleh penulis termasuk penulis dari IPI sendiri.
 
Pengarah IPGKIK, Dr Faridah Yakob, berkata, Pedagogi Sukar yang dihasilkan cetusan daripada inovasi dan idea kreatif Pensyarah Cemerlang dan Guru Cemerlang ini amat sesuai digunakan oleh pendidik di dalam negara mahupun di negara-negara lain.
 
“Saya percaya semua negara mempunyai cabaran besar atau halangan yang
dihadapi oleh guru ketika menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Kami telah ke lapangan untuk melihat sendiri halangan dan cabaran yang dihadapi oleh pendidik.
 
Susulan itu terhasillah Model Watan Pedagogi Sukar yang mengkategorikan jenis kesukaran yang dihadapi. Kesemua kaedah dan teknik yang diperkenalkan ini berupaya diaplikasi di dalam bilik darjah walaupun dalam situasi kesukaran yang berbeza. “, katanya ketika ditemu bual berkaitan pencapaian produk dan inisiatif IPGKIK ini.
 
Sementara itu, Penyelaras Majlis Pensyarah Cemerlang, IPGKIK, Norani Abd Rahim, berkata replikasi dan aplikasi kaedah dan teknik di dalam buku
Pedagogi Sukar oleh pendidik di Indonesia merupakan satu pencapaian yang bermakna.
 
“Permulaannya, cetusan idea pedagogi yang berhalangan ini cuba diselesaikan melalui teknik-teknik tertentu. Dengan cogan kata ‘Setiap Kesukaran Ada Solusinya’, kumpulan Pensyarah Cemerlang dan Guru Cemerlang bersepakat mencari idea teknik yang kreatif bagi membantu para pendidik dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran mengikut subjek masing-masing dari peringkat persekolahan sehinggalah di peringkat pengajian tinggi.”, katanya.
 
Salah satu contoh teknik bertajuk Arca Diri dalam Kluster Kesukaran Peraturan dan Undang-Undang yang mengkhusus kepada pelajar di Sekolah Integriti. Guru-guru yang mengajar di sekolah ini menghadapi kesukaran membawa bahan bantu mengajar dan peralatan-peralatan lain yang menyokong pembelajaran.
 
Oleh itu, teknik ini diperkenalkan supaya pelajar masih boleh kreatif dan menjayakan PdP yang lebih bermakna dengan menggunakan tubuh badan sendiri.
 
Arca adalah lakonan kaku yang merumuskan keseluruhan situasi yang ingin
digambarkan. Lakonan ini digambarkan dengan satu aksi sahaja dan murid
menterjemahkan suasana atau gambaran situasi dalam aksi kaku yang boleh diteka oleh murid lain.
 
Teknik Arca Diri mengutamakan prinsip Higher Order Doing (Amalan
Berimpak Tinggi) kerana murid akan berimaginasi di luar kotak dan
menterjemahkannya dalam bentuk olah tubuh yang kreatif.
 
Selain itu, kemahiran berfikir aras tinggi diperlukan kerana murid perlu memahami situasi dan tema dahulu, baharulah diterjemahkan dalam bentuk arca. Berkemungkinan setiap murid melahirkan ekspresi dan aksi yang berbeza kerana bergantung kepada imaginasi murid yang spontan dan kreatif pada ketika itu dan apa yang diekspresikan tiada salah.
 
Teknik ini sesuai diaplikasi kepada situasi penyampaian PdP yang terhalang oleh peraturan tertentu yang tidak membenarkan bahan bantu mengajar tertentu dibawa ke kelas seperti di Sekolah Integriti. Selain itu, teknik ini juga boleh digunakan kepada situasi murid yang malu untuk berkomunikasi kerana aktiviti ini dilakukan secara berkumpulan dan tidak ada dialog yang perlu dilafazkan sewaktu mempersembahkan arca tersebut.
 
Antara teknik lain yang diperkenalkan di dalam buku Pedagogi Sukar termasuklah Fizik Dalam Muzik (Kluster Pemahaman Kandungan), Fun 3M (Kluster Kurang Minat Belajar), Danger Room (Kluster Infra dan Infostruktur), Sound Story (Kluster Intrapersonal), Kakuro (Kluster Peraturan dan Undang-Undang), Dodoi Syahadah Madrasah Terapung (Kluster Komuniti) dan banyak lagi.
 
(Penulis, Norani Abd Rahim adalah Penyelaras Majlis Pensyarah Cemerlang, IPGKIK, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur).

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles