KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akam memanfaatkan sepenuhnya teknologi kepintaran buatan (AI) dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE)
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, penggunaan AI, termasuk dron, pesawat udara tanpa pemandu atau ‘unmanned aerial vehicle’ (UAV) atau radar diyakini dapat membantu penugasan pihak Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Beliau percaya penggunaan AI itu terutama drone, pasukan keselamatan mampu mengesan dengan mudah dan seterusnya bertindak pantas untuk membanteras ancaman jenayah rentas sempadan.
“Buat permulaan, hanya satu drone sahaja diaktifkan yang bakal dikendalikan oleh satu pasukan khas (response team) di Lahad Datu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Penghargaan Media Esscom di sini malam tadi.
Mengenai saranan agar pesawat tanpa pemandu (UAV) digunakan bagi memperhebatkan lagi kawalan keselamatan di Sabah khususnya di ESSZONE, Hazani berkata penggunaan AI jenis itu boleh dilaksanakan tertakluk kepada keputusan kerajaan.
Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Victor memberi jaminan kawasan ESSZONE selamat untuk dilawati pelancong.
“Secara amnya keadaan keselamatan pantai timur Sabah terkawal dan selamat dan jumlah pelancong yang melawat ke pusat-pusat peranginan di ESSZONE semakin meningkat,” katanya.
Menurutnya berdasarkan data terkini, terdapat peningkatan sebanyak 80 peratus jumlah pelancong yang melawat di ESSZONE paska pandemik Covid-19 yang kebanyakannya datang dari negara China.