KOTA KINABALU :UMNO Sabah akan membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor dan menjadikan ia sebagai medan ujian strategi baru untuk digunakan pada PRN Sabah yang akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya ingin melihat strategi baru yang lebih kepada penggunaan media sosial itu berkesan atau tidak iaitu memberi impak yang tinggi kepada gerak kerja kempen di PRN Selangor.
“Jika berkesan kami akan membawa startegi baru ini pada PRN Sabah akan datang selain menggunakan kempen secara konvensional iaitu bersemuka.
“Hari ini lihat bahawa cara kempen terutama di kawasan bandar tertumpu kepada media baru iaitu media sosial. kalau dulu kena bersemuka tapi hari ini saya nampak yang perlu diberi penekanan adalah media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata inilah antara faktor-faktor lain menyumbang kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dimana calon-calon dan parti yang memanfaatkan aliran media baru mendapat sokongan kalangan pengundi kalangan anak-anak muda
Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Sabah menghantar 300 ahli dari UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri membantu gerak kerja kempen PRN calon BN dan Pakatan Harapan di Selangor selain menghantar beberapa pemimpin tertinggi berkempen di PRN negeri lain di Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Katanya di Selangor sudah tentu tumpuan diberikan terhadap orang Sabah yang bekerja dan menjadi pengundi di sana yang dianggarkan lebih 10,000 orang.
“Jadi kita akan fokus dengan pengundi Sabah yang mengundi di Selangor dan kemudian kita akan bincang dengan jentera tempatan untuk gerak kerja yang lain
Menurutnya UMNO Sabah baru-baru ini telah mengadakan gerak kerja mendekati pengundi orang Sabah ini menerusi Santai Kaamatan 2023 yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari dan mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri lebin 10,000 anak-anak Sabah yang bekerja di negeri itu.