Kenyataan Media Komander Eastern Command DCP Victor Sanjos
LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited menguatkuasakan dan membanteras penyalahgunaan pambot, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Susulan itu, ESSCOM hari ini, telah mengkoordinasikan Operasi GASAK Laut (Pambot) di sekitar perairan sepanjang Batu 3 sehingga Batu 5, Tawau bagi membendung penyalahgunaan pambot yang sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan untuk aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESS Zone.
Hasil operasi yang dilaksanakan secara bersepadu melibatkan tindakan seramai 96 orang pegawai dan anggota oleh Jabatan serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan Persekutuan dan Negeri Sabah ini menyaksikan sebanyak 13 buah pambot telah diperiksa, melibatkan seramai 26 orang individu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima buah pambot dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) manakala seramai empat orang PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Saya amat memandang serius berhubung perkara ini dan Operasi GASAK Laut (Pambot) yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan PATI. Selain itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan Tawau khasnya.
Justeru, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Jabatan/ Agensi Persekutuan/ Negeri antaranya Polis Diraja Malaysia khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Pasukan Polis Marin Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD SRI TAWAU, Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan, Majlis Keselamatan Negara, JPDS, JIM, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Tawau atas kerjasama menjayakan Op GASAK Laut kali ini.
Sehubungan itu, saya menasihatkan kepada semua pemilik pambot di perairan ESS Zone supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat di ESS Zone agar terus membantu ESSCOM dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan pambot ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.