KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membangunkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal bagi memudahcara peralihan usahawan informal kepada perniagaan berdaftar.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, melalui pelaksanaan pelan ini, ekosistem keusahawanan sedia ada dapat diperkasakan bagi menggalakkan pendaftaran perniagaan secara sukarela.
Beliau berkata, selain dapat memupuk minda keusahawanan dan potensi pembangunan usahawan informal melibatkan diri secara serius dalam bidang perniagaan, pelan ini juga menyediakan langkah intervensi bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan informal.
“Melalui enam strategi yang disokong oleh 20 inisiatif, Pelan Pemformalan Usahawan Informal ini akan menggalakkan usahawan informal mendaftarkan perniagaan secara sukarela sekali gus mendidik mereka agar lebih beretika dan berintegriti dalam melaksanakan perniagaan.
“Transformasi usahawan informal kepada perniagaan berdaftar membolehkan mereka mendapat peluang dan akses yang lebih terbuka untuk mengembangkan perniagaan.
“Justeru, diharapkan Pelan ini dapat memberi panduan jelas kepada semua pihak berkepentingan dalam usaha memformalkan perniagaan dengan lebih telus dan efisien,” katanya pada majlis Pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal Kuskop, di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (PWTC), di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Haji Abdullah Sani Abdul Hamid, ketua-ketua agensi dan dan pegawai-pegawai kanan Kuskop.
Ewon berkata, laporan Survei Guna Tenaga Sektor Informal dan Pekerjaan Informal 2021 oleh Jabatan Perangkaan merekodkan peningkatan jumlah guna tenaga sektor informal kepada 1.30 juta berbanding 1.26 juta pada tahun 2019.
“Daripada jumlah tersebut, 955,400 atau 73.4 peratus adalah individu bekerja sendiri atau majikan yang mengusahakan perniagaan bersaiz mikro atau usahawan informal.
“Mereka ini berpotensi dibangunkan sebagai perniagaan berdaftar dan dianggarkan menyumbang antara 2.4 peratus hingga 5.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) jika diformalkan,” katanya.
Katanya lagi, KUSKOP komited dengan mandat yang diamanahkan menerajui hala tuju pembangunan keusahawanan negara melalui pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi memastikan keusahawanan menjadi antara agenda utama dalam pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.