KOTA BELUD: Pendidikan awal merupakan antara agenda utama kerajaan yang perlu dititikberatkan, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata ini kerana pendidikan awal merupakan permulaan kepada kejayaan yang lebih tinggi.
Menyedari kepentingan pendidikan awal, Salleh yang juga ADUN Usukan berkata kerajaan terus menyokong pembangunan pendidikan Tabika KEMAS bagi memastikan kanak-kanak dapat belajar dalam situasi yang selesa.
Katanya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan pendidikan awal yang baik dan berkualiti kepada kanak-kanak sama ada di bandar atau di luar bandar
“Sudah tentu asas pendidikan dimulakan dari Pendidikan Prasekolah. Apabila kita berjaya membina asas yang kukuh pada diri kanak-kanak ini, bukan sahaja kita berjaya menerapkan nilai-nilai murni yang berpaksikan ajaran Agama, kita sebenarnya sudah berjaya memandu mereka membina diri dan asas kerjaya di masa depan.
“Saya percaya bahawa peranan inilah yang sedang dilaksanakan oleh KEMAS,” katanya.
Salleh berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS peringkat daerah Kota Belud di sini hari ini.
Beliau berkata KEMAS juga berperanan penting bagi melahirkan masyarakat yang
harmonis dan seimbang.
“Kita tidak harus memberi tumpuan kepada komponen bahasa dan komunikasi dan perkembangan kognitif semata-mata tetapi kita juga harus terarah kepada pembinaan diri seorang kanak-kanak,” katanya.