KOTA KINABALU: Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sukau, Azman Mastar berkata, cadangannya supaya jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM) 3 diberikan kepada pemimpin kanan sesebuah parti baru-baru ini berasaskan suara rakyat di akar umbi.
Menurut beliau, pihaknya mencadangkan perkara itu kerana mengambil kira suara rakyat di peringkat akar umbi, tambahan lagi jawatan itu kini dipegang oleh pemimpin yang tidak mempunyai parti.
“Perkara itu di bawah bidang kuasa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima dan terserah kepada beliau untuk membuat keputusan. Saya hanya menyuarakan hasil suara rakyat di bawah dengan hati yangb ikhlas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau meminta semua pihak supaya tidak menyalah-tafsirkan pandangannya itu kerana pandangannya hanya melibatkan jawatan TKM 3 dan bukan portfolio sebagai menteri.
“Jangan salah tafsir setiap cadangan yang diutarakan dan sebagai pemimpin kita perlulah sentiasa bersikap positif”.
“Biarlah jawatan Menteri Kerja Raya dikekalkan kepada Datuk Shahelmy Yahya kerana beliau juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri walaupun tidak mewakili mana-mana parti,” kata Azman.
Adun Keramat itu ketika ini tidak berparti berikutan tindakan penggantungan enam tahun yang dikenakan Umno kepadanya serta menghadapi kekangan menganggotai mana-mana parti politik disebabkan Undang-Undang Anti Lompat parti diluluskan di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dan telah pun digazetkan.
Sehubungan itu, Azman berpendapat pemimpin kanan dan selaku Timbalan Presiden PGRS yang juga Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun merupakan pemimpin yang sesuai ditawarkan jawatan TKM 3 atas faktor pengalaman yang dimilikinya.
“Kita mencadangkan perkara ini bukan berniat tidak baik kepada Shahelmy namun kehendak dan aspirasi rakyat keseluruhannya patut diambil kira bagi membolehkan parti dan pemimpin mendapat keyakinan rakyat,” tegasnya.
Beliau juga berharap pandangannya supaya dilakukan perubahan bagi jawatan TKM 3 dalam kerajaan tidak dibuat spekulasi yang bukan-bukan dan menyebabkan pihak tertentu menuding jari kepadanya.