Pemimpin, ahli PBS perlu berkorban demi parti, rakyat Sabah – Dr. Joachim

RANAU: Para pemimpin dan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) diminta agar tidak hanya taksub dan berbangga dengan nama parti yang tertua di negeri ini tetapi tidak berbuat apa-apa demi parti.

Advertisements

Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua pemimpin dan ahli perlu berkorban demi PBS kerana mereka berjuang bersama dan ia adalah untuk rakyat Sabah.

“Kita perlu terus bersama-sama bekerja keras, bekerjasama demi parti dan rakyat Sabah. Kita utamakan kepentingan PBS dan rakyat Sabah, bukan kepentingan diri sendiri.

“Marilah kita perkuatkan lagi akar umbi kita, bukan kerana kita parti tertua di Sabah tetapi kerana kita parti berprinsip, berdisiplin dan bersatu,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian N.36 Kundasang, Bahagian N.37 Karanaan dan Bahagian N.38 Paginatan kali ke-38 di Dewan Komuniti Kampung Kilimu, di sini, kelmarin (17 Jun).

Mesyuarat Agung Tahunan pada kali ini memghimpunkan seramai 500 perwakilan beserta pemerhati.

Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri, turut membawa semua pemimpin dan ahli mengimbau kembali perjalanan parti yang menurutnya telah melalui pelbagai fasa dan merekodkan kejayaan yang membanggakan dalam memperjuangkan beberapa agenda penting.

Antaranya, katanya, kejayaan PBS mempertahankan nama Pesta Kaamatan daripada dijadikan Pesta Rakyat; menjadi parti pertama mengusulkan undang-undang anti-lompat parti secara konsisten; menamatkan pengiliran Ketua Menteri dengan menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 2002 demi kestabilan politik Sabah; menyuarakan secara konsisten isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah; dan perjuangan sebagai sebuah parti berbilang kaum yang menjadi ikutan oleh parti-parti tempatan yang lain.  

Beliau turut meminta semua bahagian dan cawangan agar terus memperkukuhkan keahlian dan kesetiaan ahli PBS serta merancakkan promosi untuk menarik lebih ramai belia dan beliawanis menyertai parti.

“PBS ketika ini dalam usaha meremajakan parti dengan mengetengahkan barisan pelapis pemimpin muda. Sememangnya PBS mempunyai ramai pemimpin muda serta profesional yang berkelayakan dan berkualiti. Mereka inilah yang akan dapat mempromosi dan menarik lebih ramai belia-beliawanis dan profesional ke dalam parti…kita amat mengalu-alukan kemasukan para belia-beliawanis dan profesional ke dalam parti kita,” kata beliau yang juga merupakan salah seorang pemimpin yang menyertai parti itu dengan mendaftar sebagai seorang professional pada tahun 2002.  

Selain itu, Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyeru semua ahli PBS untuk menyokong sesiapa sahaja antara mereka yang diangkat calon mewakili PBS pada Pilihan Raya Negeri dan Umum akan datang.

“Kita akan kempen sepenuhnya tanpa berbelah bagi,” katanya, sambil mengajak kepimpinan di semua peringkat dan semua ahli untuk terus bergerak ke hadapan dengan penuh yakin dan berani untuk meneruskan perjuangan parti.

“Gunakan kestabilan politik sekarang ini untuk kita memperkukuhkan kedudukan parti di peringkat bahagian dan cawangan, termasuk di Ranau. Inilah masanya kita masuk ke kampung-kampung dengan lebih kerap dan berseru kepada semua Sabahan bahawa PBS akan terus mempertahankan hak-hak Sabahan dan pada masa yang sama, kita memerlukan sokongan padu daripada mereka,” katanya.

Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK pelaksana program dan semua perwakilan daripada ketiga-tiga bahagian atas kejayaan mesyuarat tersebut.

Pada masa yang sama, katanya PBS komited untuk terus berjuang bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selagi GRS berkongsi perjuangan yang sama dengan PBS.   

“Kita bekerjasama dengan semua parti komponen GRS, kita hormat-menghormati sesama kita dan mengamalkan formula perkongsian kuasa yang telus, adil dan saksama dalam GRS,” tegas Dr. Joachim yang juga Ketua Bahagian PBS Kundasang.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun; Ketua Pemuda PBS merangkap Naib Presiden PBS Christoper Mandut; Ketua Wanita PBS bersama Timbalan, Datin Malianah Ugau dan Rosnah Ulap; Penolong Setiausaha Agung PBS, Jonnybone J. Kurum; Setiausaha Kerja PBS Pusat, Mesilus Roman; Ketua Bahagian PBS N.37 Karanaan, Datuk Bernard J. Dalinting; Ketua Bahagian PBS N.38 Paginatan, Arthur Sen serta barisan kepimpinan bahagian masing-masing; Ahli -ahli Majlis Tertinggi (AMT); Exco- Exco pergerakan pemuda; wanita serta ketua-ketua bahagian bersama timbalan serta pemerhati.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles