TAMPARULI: Seorang wanita warga emas menerima sumbangan kerusi roda daripada Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Tamparuli, di rumahnya di Kampung Sawah, dekat sini hari ini.
Sudinah Apong, 71, yang merupakan seorang balu, kini mengalami kesukaran untuk berdiri apatah lagi bergerak ke sana kemari.
Sepanjang lawatan, Sudinah menyatakan rasa terharu dan gembira apabila menerima kerusi roda itu yang pastinya mampu membantu memudahkan pergerakannya.
Sesi penyerahan sumbangan tersebut diketuai Ketua Pergerakan Wanita PBS Bahagian N.14 Tamparuli, Datin Malianah Ugau.
Menurut Malianah, sumbangan kerusi roda itu merupakan sebahagian daripada program kemasyarakatan Wanita PBS, bagi menyantuni golongan memerlukan dan membantu mereka yang susah.
Katanya, pada masa sama program itu juga dapat merapatkan silaturrahim antara pemimpin kampung dan rakyat di peringkat akar umbi Tamparuli.
“Syukur, akhirnya tercapai juga impian beliau (Sudinah) untuk bergerak walaupun dengan menggunakan kerusi roda,” kata Malianah yang juga Ketua Exco Pergerakan Wanita PBS.
Turut hadir Ketua Penerangan Wanita PBS Bahagian, Liliana Tangkis, Ketua Wanita PBS Cawangan Kampung Sawah, Maria Lazarus dan Ketua Kampung Sawah, KK Luni Kisang.