KUALA LUMPUR: Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM), satu-satunya universiti di negara ini yang menawarkan sepenuhnya kursus berasaskan keusahawanan dan pengurusan koperasi, menawarkan lima program pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda UKKM bakal memulakan sesi pengajian September ini, manakala program Sarjana akan membuka tirainya Julai ini.
“Pengambilan untuk Program Sarjana Pengurusan Perniagaan (Koperasi) UKKM kini telahpun dibuka. Ini satu platform terbaik untuk mengisi koperasi-koperasi sedia ada dengan golongan profesional dalam bidang pentadbiran, pengurusan dan keusahawanan.
“Kewujudan universiti ini bukan sahaja dapat melahirkan pelapis kepimpinan koperasi yang kompeten, malah mampu meletakkan Malaysia sebagai salah satu hub pendidikan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran UKKM, di Auditorium Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di sini, semalam.
Ewon berkata, UKKM merupakan satu-satunya institut pendidikan jangka panjang yang dirangka bagi menyedia dan menghasilkan golongan profesional dalam kebitaraaan keusahawanan koperasi.
“Saya berharap UKKM dijadikan institusi latihan bagi pembelajaran sepanjang hayat dalam mentransformasi dan membina gerakan koperasi yang lebih kompeten dan berdaya saing.
“Saya menyeru lebih banyak penglibatan golongan muda menyertai UKKM agar jenama koperasi dapat diremajakan dan dilihat sebagai satu cabang dan peluang menjana pendapatan,” katanya.
Ewon juga menyokong hasrat UKKM menjalin kerjasama dengan semua sektor koperasi terutama negara ASEAN dalam pelbagai bidang bagi membantu universiti itu memperoleh lebih banyak pengiktirafan dan melebarkan jenama.
“Jalinan ini kelak akan sedikit sebanyak membantu dalam proses pembangunan program-program pengajian baharu serta penyelidikan seiring “standard” dan kehendak industri dan antarabangsa,” katanya.
Belisu turut mengumumkan, UKKM menawarkan Hadiah Pendidikan Koperasi istimewa untuk para pelajar ambilan awal iaitu pengurangan 50 peratus bayaran keseluruhan yuran pengajian (meliputi kesemua program pengajian).
“Ini merupakan tanda penghargaan UKKM kepada bakal pelajar yang mempercayai peranan dan kewibaan universiti ini dalam meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pemimpin dan anggota koperasi,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon menyerahkan surat tawaran kepada 10 calon pelajar Sarjana Pengurusan Perniagaan (Koperasi) yang menjadi pelajar ambilan pertama UKKM.
Antara penerima surat tawaran itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami.
Sementara itu Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor mengumumkan pelantikan Ewon sebagai Canselor UKKM, Pro Canselor UKKM ialah Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dan Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah.
Turut hadir, Saraswathy, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Zamri Salleh, Pengerusi Lembaga Pengarah UKKM Datuk Wira Dr.Rosli Mat Hassan, Naib Canselor UKKM Prof Datuk Dr.Azali Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah IKMA dan UKKM dan ketua-ketua agensi di bawah Kuskop.
UKKM merupakan Institusi Pengajian Tinggi bertaraf universiti milik penuh IKMa, sebuah agensi di bawah KUSKOP yang beroperasi sebagai IPTS sejak 29 Mac 2023.