PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan usahawan Sabah yang mengusahakan produk makanan tradisional Sabah di Semenanjung supaya menambahbaik mutu dan kualiti produk terutamanya dari segi pembungkusan.
Beliau berkata, ini penting kerana pembungkusan yang menarik bukan sahaja membantu melariskan produk berkenaan tetapi juga dapat meningkatkan imej syarikat usahawan berkenaan.
“Produk makanan dan minuman serta pakaian tradisional atau pakaian bermotifkan Sabah yang diusahakan oleh usahawan tempatan Sabah di sini akan lebih menarik sekiranya kualiti pembungkusan produk berkenaan dipertingkatkan lagi.
“Kementerian saya melalui agensi-agensi menawarkan pelbagai skim pembiayaan yang boleh dipohon untuk membantu mereka meningkatkan kualiti pembungkusan produk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Kaamatan KDCA Putrajaya, di Hotel Mariott Putrajaya, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeo.
Mengenai sambutan Pesta Kaamatan KDCA Peringkat Putrajaya, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut memuji usaha pihak penganjur atas kejayaan menghimpunkan masyarakat Kadazandusun dan rakyat Sabah secara keseluruhannya yang bekerja dan bermastautin di Putrajaya.
“Sambutan Kaamatan di luar Sabah bukan sahaja dapat membantu memulihara warisan dan budaya masyarakat Kadazandusun tetapi mempromosi budaya etnik masyarakat kita kepada masyarakat lain di sini.
“Saya berharap sambutan Kaamatan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan setakat memilih siapa Unduk Ngadau dan juara Sugandoi Kaamatan mewakili Putrajaya ke pertandingan akhir di KDCA Penampang tetapi apa yang penting ialah kita dapat melihat kejayaan masyarakat kita dalam pelbagai bidang,” katanya.
Sementara itu, johan Unduk Ngadau Kaamatan Putrajaya dimenangi oleh Marcerine Marcus, tempat kedua Jenell Albert Joseph dan tempat ketiga Ezetty Jouni.
Marcerine akan mewakili Putrajaya ke pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan Penampang pada 30 dan 31 Mei ini.