SANDAKAN: Pepatah Melayu ada mengatakan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Muafakat yang ditekankan dalam peribahasa itu ternyata berjaya menyuntik semangat kepada pihak Jabatan Pendidikan Sandakan dan AWANA Event Management bersama SJK C Syn Hua untuk bersama-sams menganjurkan dan menjayakan pertandingan kaligrafi sekolah rendah dan sekolah menengah daerah Sandakan Tahun 2023.
Pertandingan kaligrafi itu diadakan di Gelanggang bola keranjang SJK C Syn Hua Sandakan baru-baru ini.
Penganjuran oleh AWANA Event Management bersama SJK C Syn Hua itu disokong oleh Puan Hajah Munah Binti Haji Nasri selaku pegawai Pendidikan Daerah Sandakan.
Pertandingan kaligrafi yang julung kali diadakan mendapat sambutan baik yang menyaksikan 107 pelajar menyertai pertandingan tersebut.
Pihak AWANA Event Management yang diketuai Encik Alex Kok Kin Vun telah memainkan peranan penting mencari dana untuk menjayakan pertandingan tersebut.
Pihak sekolah SJK C Syn Hua yang diketuai Puan Yee Choon Mui pula mengatur segala persediaan di peringkat sekolah untuk pertandingan kaligarfi itu dan disokong oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan.
“Saya melihat ini sebagai satu permuafakatan yang Hebat. Sokongan padu dari banyak pihak iaitu dari komuniti masyarakat ke peringkat sekolah banyak membantu kejayaan program ini,” kata Hajah Munah merangkap pegawai Pendidikan Daerah Sandakan.
Hajah Munah turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang bergemblengkan tenaga untuk menjayakan penganjuran itu.
Katanya pertandingan itu antara lain bertujuan membantu para pelajar menguasai dan mengaplikasikan kemahiran dalam aspek penulisan kaligrafi yang merupakan seni masyarakat cina.
Pada masa yang sama, pertandingan itu bermatlamat mencungkil bakat para pelajar dalam seni kaligrafi.
Selain itu, ia diyakini dapat membantu pelajar memperolehi markah PAJSK.