KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat menitikberatkan aspek keselamatan di negeri Sabah, kata Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata ini penting memandangkan Sabah merupakan destinasi pelancongan utama di negara ini, terutama pelancong luar negara.
“Sabah ini merupakan negeri yang penuh dengan daya tarikan kepada pelawat bukan sahaja pelawat dalam negeri tetapi juga pelancong luar negara.
“Sebagai destinasi pelancongan utama, kita sangat menitikberatkan tahap keselamatan di Sabah – sama ada ancaman daripada segi jenayah atau apa-apa aktiviti yang boleh menimbulkan kegusaran kepada rakyat.
“Oleh itu, dalam mesyuarat polis baru-baru ini, kita menaruh keyakinan kepada
Datuk Jauteh Dikun untuk menggalas tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu,” katanya.
Acryl Sani berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah di ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kepayan, hari ini.
Selain Jauteh, turut dinaikkan pangkat ialah DCP Shahurinain bin Jais sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Acryl San yakin kombinasi Jauteh dan Shahurinain yang masing-masing berpengalaman dalam bidang kepolisan dan pencegahan jenayah mampu mentadbir dan mengurus dengan baik pasukan polis di Sabah.
Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah golongan tidak bertanggunjawab yang menggunakan media sosial atau alam maya sebagai platform untuk melakukan aktiviti jenayah siber.
Beliau berkata kemajuan daripada teknologi maklumat sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya penipuan atau jenayah siber.
Mengenai dua individu dipercayai ahli kongsi gelap serta anggota sindiket penipuan selain terlibat dalam kes tembakan di Taiwan, beliau berkata kedua-dua suspek diberkas ketika memasuki negara ini melalui penerbangan dari Taiwan.
Katanya mereka telah diserahkan kepada pihak berkuasa negara tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.