SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir hari ini menyertai ratusan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Fajr Taman Fajar Batu 7.
Ketua Penerangan UMNO Sabah itu tiba diperkarangan majis berkenaan pada jam 7.15 pagi sebelum menyertai jemaah di dewan solat utama.
Beliau diiringi ayahnya, Haji Nasir Misrah, Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran Datuk Salzo Asa, Setiausaha UMNO Bahagian Libaran Asli Haji Amat, Pegawai Khas Ahli Parlimen Libaran Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman serta sebahagian barisan kepimpinan UMNO Bahagian Libaran.
Antara lain, beliau berkata setiap kali datangnya hari raya, sudah menjadi kebiasaan dikalangan orang ramai untuk berbelanja bagi menyediakan segala jenis persiapan serta kelengkapan bagi menyambut aidilfitri.
“Dalam menyediakan segala jenis persiapan dan kelengkapan, adalah penting supaya setiap daripada kita merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros berbelanja.
“Walaupun hari raya cuma datang setahun sekali, namun ia tidak bermakna kita harus membelanjakan berlebihan semata-mata untuk menyambut hari raya,” katanya.
Suhaimi berkata kedaan ekonomi semasa dan kos sara hidup pada ketika ini tidak menentu menuntut kita semua mengamalkan gaya hidup yang kebih bersederhana dan berjimat cermat.
“Ramadan yang lalu bukan sahaja menuntut umat Islam menjalani ibadat puasa malah turut mengajar kita untuk menjadi insan yang sederhana dalam menjalani kehidupan seharian.
Beliau turut mengingatkan Aidilfitri adalah titik tolak kepada perubahan untuk seluruh umat Islam memperbaiki hubungan sesama insan dan mengeratkan perpaduan ummah.
“Umat Islam yang berpadu dan sekata dalam aspek pandangan, sikap dan tindakan akan memastikan keharmonian hidup masyarakat terbela serta gerakan bagi pembangunan bangsa dan negara pula terancang secara sempurna.
“Malah, menerusi perpaduan ummah yang jitu, hak bukan Islam sebagai warganegara di negara ini terus terjamin,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Libaran ini kemudiannya mengunjungi rumah terbuka ADUN Sungai Manila Moktar Ingkat, Naib Ketua Umno Bahagian Libaran Datuk Salzo Asa, Setiausaha UMNO Bahagian Libaran Asli Amat, Haji Mohd Noor Bacho, AJK Bahagian Libaran Haji Halim Jafar dan Salim Sahak.