SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali perlu berhenti bermain politik untuk menjatuhkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah sebaliknya fokus kepada tugas sebagai Menteri untuk membantu rakyat.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata fokus utama kerajaan kini adalah bekerja untuk rakyat dan selesaikan pemulihan ekonomi.
βArmizan sebagai menteri perlu berhenti bermain politik berbaur ancaman dan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persengketaan antara pemimpin politik yang sama-sama menyokong kerajaan perpaduan.
βPerdana Menteri telah beri peringatan Menteri-Menteri dibawa pentadbirannya untuk fokus kepada kerja dan berhenti main politikβ, katanya.
Beliau menegaskan pelbagai isu dan masalah dihadapi rakyat termasuk isu tiket penerbangan mahal dari Kuala Lumpur ke Sabah yang membebankan rakyat balik menyambut Aidilfitri.
βSebagai Menteri yang datang dari Sabah, dia sewajarnya menyelesaikan masalah isu tiket mahal dihadapi rakyat Sabah ini.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah mengingatkan Armizan agar jangan lupa sejarah dan fakta berhubung pembentukan kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri tahun 2020.
βTanpa sokongan Bung Moktar selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah membentuk kerajaan negeri, tidak akan berlaku Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri.
βArmizan mengatakan Bung tidak relevan adalah satu kesilapan kerana perlu diketahui, Bung merupakan seorang pemimpin yang kini mengemudi UMNO di Sabah yang merupakan sebuah parti besar dan mempunyai sejarah memerintah negara ini.
βBung adalah pemimpin yang diterima oleh semua lapisan masyarakat. Dalam pemilihan UMNO, Bung juga diterima baik oleh ahli-ahli UMNO diseluruh negara termasuk negeri Sabah dengan memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabahβ, katanya.
Beliau berkata UMNO hari ini semakin relevan dengan menampilkan gabungan pemimpin lama serta muda selepas pemilihan lepas dan akan terus menyantuni rakyat seluruhnya tanpa mengira kaum.
Suhaimi mencabar Armizan sebagai penyokong tegar Hajiji agar mengistihar pendirian menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah tanpa berlindung di Gerakan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Ahli Parlimen tanpa sebarang parti kerana GRS bukanlah sebuah parti politik.
