KOTA KINABALU: Seramai 39 peserta mengambil bahagian pada Festival Kesenian Islam 2023 (FKI’23) peringkat Kebangsaan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kesemua peserta terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah, serta pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Program yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Serbaguna KKTF dirasmikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, kelmarin.
Menurut Dr. Kasim, penganjuran FKI’23 amat signifikan dengan keperluan generasi pada masa ini.
“Program ini memberi pendedahan meluas mengenai kesenian dalam Islam merangkumi pelbagai aspek seperti seni suara, pertahanan diri, sukan, tulisan dan sebagainya.
“Program kerohanian seperti ini juga membuka peluang kepada masyarakat untuk mendekatkan diri dengan Islam dan menambah ilmu seni kebudayaan Islam.
“Ia juga merupakan platform bagi membincangkan hal-hal berkaitan isu agama yang dihadapi oleh generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar,” katanya.
Dr. Kasim turut mengalu-alukan penganjuran program tersebut yang disifatkannya mampu menerapkan seni warisan Islam dalam institusi masyarakat.
“Saya sangat mengalu-alu program seumpama ini dan berharap penganjurannya akan terus berkesinambungan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Nurhikmah Kasiran ketika dihubungi berkata, sebanyak enam pengisian telah diadakan sepanjang FKI’23.
“Antaranya, pertandingan Tilawah al-Quran, laungan azan, seni khat, pidato umum, sirah nabi dan acara ‘merewang’ memasak bubur lambuk.
“Kita juga telah mengadakan Quran Hour secara hibrid sempena Nuzul Al-Quran pada 8 April 2023,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Raffie Hj. Janau; dan Pengetua KKTF, Dr. Khair Beddu Asis.