SANDAKAN: Mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Libaran, Datuk Salzo Asa menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran bagi sesi 2023-2026 pada pemilihan parti itu pada 18 Mac depan.
“Dalam suasana dan landskap politik yang cukup berbeza ketika ini, UMNO perlu bertahan dan untuk itu parti memerlukan perpaduan dan mengelakkan perpecahan.
“Apa yang penting, kita perlu terus mendukung prinsip demokrasi dan bekerja kuat untuk parti keramat ini kekal relevan dan diterima rakyat dulu, kini dan selamanya,” katanya.
Pertandingan pada kali ini, beliau melihat ia sebagai keterbukaan demokrasi dalam UMNO, di mana UMNO sentiasa membuka ruang kepada ahli ahli parti yang berpontensi untuk menawarkan diri bagi apa juga jawatan dan mengetengahkan diri mereka.
“Saya percaya setiap dari calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding adalah di atas rasa sayangkan UMNO dan Insha Allah pertandingan akan berjalan secara sihat, berhemah dan penuh ukhwah.
“Sekiranya diberi peluang untuk menang pada jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran ini, fokus utama sudah tentulah untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dan UMNO.
“Dengan cara mempergiatkan program dan gerak kerja yang bersasar dan mendasar kepada masyarakat akar umbi. UMNO Libaran perlu segar dengan menyentuh segenap lapisan masyarakat meliputi ahli ahli masjid, peniaga, orang muda, masyarakat B40, profesional, penjawat awam dan sektor swasta, masyarakat bandar dan kampung,” jelasnya.
Salzo yang merupakan calon nombor 4 bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Libaran menegaskan perkara ini telah dilakukan sewaktu menjadi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Sibuga dan Bendahari UMNO Bahagian Libaran dan diterima baik masyarakat.
“Penawaran diri saya untuk jawatan Naib Ketua Bahagian UMNO Libaran kali ini adalah merupakan satu tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan UMNO untuk terus relevan dan segar serta terus mendapat tempat di hati rakyat.
“Saya optimis sekiranya terpilih, saya akan berusaha membantu YB Datuk Suhaimi Haji Nasir selaku Ketua UMNO Bahagian Libaran UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian demi kebaikkan rakyat khususnya ahli-ahli UMNO,” katanya.
Beliau menawarkan diri atas keinsafan bahawa UMNO Libaran harus bergerak di atas landasan “1 Saf 1 Kebangkitan”. Sebagai sebuah parti politik, semestinya halatuju utama adalah memenangi pilihanraya dan memperkuatkan UMNO dan BN diperingkat akar umbi.
Salzo merupakan pemimpin yang tidak asing lagi di kalangan rakyat di Libaran kerana sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Libaran (2001-2004), Bendahari UMNO Bahagian Libaran (2004-2014), Perwakilan Bahagian UMNO Libaran Ke Persidangan UMNO Malaysia (2008-2018) dan Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Sungai Sibuga (2017).