LAHAD DATU: Zon 8 yang terdiri daripada Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Semporna dan Majlis Daerah Kunak dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan Sabah (SKTS) Ke-13 yang menutup tirainya pada Jumaat.
Naib juara keseluruhan jatuh kepada Zon 6 yang terdiri daripada Majlis Daerah Tambunan, Majlis Daerah Nabawan, Majlis Daerah Tenom dan Majlis Daerah Keningau dan Zon 3 pula iaitu Majlis Perbandaran Tawau di tempat ketiga.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang merasmikan penutupan kejohanan selama lima hari itu turut menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pada majlis yang diadakan di Dewan Perdana Lahad Datu.
Beliau berharap objektif yang disasar melalui kejohanan ini telah tercapai dan kesemua peserta mempunyai kenangan manis semasa berada di Lahad Datu dan akan bekerja dengan lebih efektif dan proaktif.
“Saya berharap semua warga Kementerian dan PBT akan meneruskan tradisi yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian samada di dalam mahupun di luar pejabat,” ujarnya.
Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada seramai 1,972 ahli-ahli jawankuasa penganjur dan kontinjen-kontinjen yang bertanding dan semua yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam melaksanakan tanggungjawab dan mengendalikan kejohanan sukan ini dengan lancar dan jayanya.
“Salah satu aspek yang amat positif ialah dengan kehadiran pengunjung ke Lahad Datu, kita membantu sedikit meningkatkan pendapatan warga Lahad Datu dalam masa seminggu SKTS diadakan”, katanya.
Sesungguhnya kejayaan penganjuran kejohanan sukan pada tahun ini adalah hasil daripada kerjasama yang diberikan oleh semua di pelbagai peringkat tidak kira dari peringkat atasan mahupun sebaliknya., katanya, sambil menambah ini membuktikan bahawa sekiranya semua bersama-sama bekerja dan bersatu padu dalam melaksanakan apa-apa jua tugas yang diberikan, ianya akan membuahkan hasil seperti yang semua harapkan.
Pada SKTS kali ini, terdapat empat acara baharu yang diperkenalkan iaitu sukan elektronik (e-sukan), olahraga, gusti lengan dan memanah daripada 17 jenis acara yang dipertandingkan.
Dr. Joachim mengucapkan terima kasih kepada Zon 8 (Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Semporna dan Majlis Daerah Kunak) yang telah sudi menjadi tuan rumah kejohanan dan juga kepada syarikat-syarikat konsesi yang telah memberikan sumbangan dalam bentuk hadiah dan sebagainya.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr. Jamili Nais merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukan Kerajaan Tempatan Sabah kali ke-13; Setiausaha Politik Kementerian, Jonnybone J. Kurum; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzyaldeen @ Benetty Mohd Dzul; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu selaku Pengerusi bersama kejohanan SKTS, Jackley Gielbert @ Lontou; Timbalan-timbalan Presiden Majlis Perbandaran (Tawau dan Sandakan), Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Anak Sabah (JHEANS), Pengerusi-pengerusi Majlis Daerah, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, para pegawai dan kontijen.