KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengesyorkan kerajaan Sabah supaya segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenalpasti, mengurus dan memantau proses vaksinasi pendatang tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Agung UPKO Dr Peter Jr.Naintin berkata, jawatankuasa khas itu penting bagi membantu kerajaan mengumpul data mengenai PATI yang tidak memiliki dokumen di negeri ini.
Beliau berkata parti itu menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat Sabah secara percuma termasuk PATI yang tidak mempunyai dokumen demi kebaikan bersama.
“Vaksin Covid-19 untuk semua itu bertujuan baik atas dasar kemanusiaan dan kebaikan bersama serta selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ dan pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun dipetik sebagai berkata bahawa semua penduduk Sabah termasuk rakyat asing dan PATI yang tidak mempunyai dokumen yang sah akan menerima vaksin Covid-19 secara percuma.
Dr Peter yang juga Ketua Bahagian UPKO Libaran turut menyarankan agar PATI yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah atau memiliki dokumen yang meragukan selepas program itu dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
“Berdasarkan data penduduk Sabah pada tahun 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih satu juta penduduk di negeri ini bukan Warganegara Malaysia yang mungkin sebahagian besarnya adalah Pendatang Tanpa Izin,” katanya.