SELANGOR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) sepanjang tahun ini (2022) berjaya mencipta RM8.7 hasil jualan.
Beliau berkata, ia jelas membuktikan program bimbingan ini memberikan kesan serta impak positif untuk usahawan.
“Malam ini merupakan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN pertama yang saya hadiri. Saya sangat berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai keberhasilan program-program anjuran INSKEN khususnya program bimbingan.
“Saya amat teruja melihat pencapaian-pencapaian program yang dilaksanakan oleh INSKEN.
Pertama sekali, RM3.8 juta peningkatan hasil jualan yang dicipta oleh usahawan yang menyertai program kali ini dengan 9 usahawan berjaya mengubah status perniagaan daripada mikro kepada kecil selepas menyertai progam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022, di Bangi Resort Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato Sri’ Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datuk Sham Shamrat Sen Gupta dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin.
Pada majlis graduasi itu seramai 180 orang daripada tujuh kumpulan usahawan berjaya menamatkan program bimbingan INSKEN. Daripada jumlah itu 87 usahawan adalah Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan kerjasama INSKEN.
Ewon berharap dengan adanya majlis graduasi akan memberikan suntikan semangat kepada para usahawan untuk terus maju ke hadapan.
Saya amat berbangga melihat pencapaian yang sangat baik daripada usahawan bimbingan INSKEN.
“Seramai 106 usahawan berjaya menunjukkan peningkatan hasil jualan, dan daripada jumlah tersebut, 75 usahawan berjaya mencapai KPI yang telah ditetapkan iaitu peningkatan jualan minima sebanyak 20 peratus,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan cemerlang kepada INSKEN atas kejayaan menganjurkan program seumpama ini yang memberikan banyak manfaat kepada usahawan.
“Semoga INSKEN terus cemerlang serta kekal proaktif dalam membantu usahawan melalui program pembangunan keusahawan dan sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara yang optimum,” katanya.
Sementara itu, Ewon mencadangkan agar agensi di bawah kementerian itu menawarkan pembiayaan secara terus kepada peserta terbaik Program Bimbingan INSKEN.
Beliau berkata, ini adalah antara pendekatan terbaik untuk mempercepatkan wawasan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
Katanya, sudah tiba masanya agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan pembiayaan secara terus kepada usahawan terbaik dan terpulang kepada mereka menerima atau sebaliknya.
“Kita mahu mereka berkembang daripada perusahaan mikro, kecil dan seterusnya meningkatkan perniagaan menjadi perusahaan sederhana yang tentunya akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
“Ini adalah peranan agensi di bawah kementerian yang bertanggungjawab menyediakan pembiayaan kepada para usahawan.
“Seperti pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, penyedia biasiswa kerajaan atau korporat menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang berkenaan. Maka adalah lebih baik agensi di bawah kementerian ini juga menawarkan pembiayaan secara terus kepada peserta terbaik,” katanya.
Ewon turut berbangga kerana hampir semua usahawan yang menyertai program itu adalah golongan wanita dan ibu yang terlibat dalam perusahan mikro, kecil dan sederhana.
“Saya juga dilahirkan oleh seorang ibu yang dahulunya seorang penjual kecil-kecilan. Sudah tentu ibu saya juga amat berbangga dengan kejayaan rakan-rakan wanita dalam bidang keusahawanan.
“Berdasarkan taklimat kejayaan usahawan bimbingan INSKEN ada diantara mereka yang dahulunya peserta kini menjadi coach atau pembimbing.
“Ini amat membanggakan saya kerana mereka turut membantu rakan-rakan lain mencipta kejayaan dalam keusahawanan. Inilah usahawan yang patut dan wajar kita beri suntikan dana,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin pula berkata, pencapaian cemerlang para peserta bimbingan INSKEN memberi semangat kepada agensi itu untuk melaksanakan lebih banyak program bimbingan pada 2023 agar lebih ramai usahawan dapat dibantu.
“Program bimbingan INSKEN dimulakan sejak 2017 terus menunjukkan prestasi terbaik dan wajar diteruskan supaya usahawan-usahawan yang dibimbing juga dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2022 program bimbingan INSKEN mencipta RM8.7 juta lonjakan hasil jualan, 100 peluang pekerjaan baharu dan 37 perniagaan bertukar status daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.
“Pencapaian keseluruhan tahun ini direkodkan melalui pelaksanaan 109 program bimbingan yang terdiri daripada 1,395 usahawan,” katanya.