Sabah pacu inisiatif MyDIGITAL menerusi aplikasi GoBiz, perkasa perniagaan maya

Oleh Rohana Nasrah

Advertisements

KOTA KINABALU (BERNAMA): Sabah akan memacu matlamat pelaksanaan inisiatif MyDIGITAL menerusi aplikasi GoBiz, sebuah platform e-dagang yang diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun lalu bagi memangkin kemajuan usahawan tempatan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata GoBiz, platform perniagaan maya itu dibangunkan sebagai satu daripada usaha serta komitmen kerajaan negeri bagi memperkasa ekonomi digital sekali gus membantu usahawan termasuk mikro dan kotej untuk menggunakan e-dagang. 

GoBiz adalah antara perkhidmatan terdapat dalam Aplikasi GoNet yang boleh didapati dalam Apps Store dan Google Play, dan ia diperkenalkan oleh kerajaan negeri sebagai inisiatif membantu usahawan dan peniaga terjejas akibat COVID-19 untuk memasarkan produk secara dalam talian.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha e-dagang sama ada yang sudah berpengalaman atau pun yang baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan digital terutama anak-anak muda.

“Ini bagi memastikan perniagaan e-dagang boleh lebih berkembang lagi di Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas inisiatif MyDIGITAL, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Inisiatif itu antara lain bertujuan mempercepatkan transformasi negara menjadi ekonomi maju dalam bidang teknologi menjelang tahun 2030, selain usaha meningkatkan literasi digital, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar di Malaysia.

Menerusi MyDIGITAL, kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang, selain membina empat jenis prasarana digital penting bagi merancakkan inovasi serta mewujudkan sebuah ekosistem digital yang berkesan.

Mengulas lanjut, Joachim berkata kerajaan negeri  berharap usaha itu turut mengambil kira keperluan Sabah termasuk memperluaskan rangkaian internet efisien di negeri itu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman ke arah merealisasikan matlamat MyDIGITAL.

Joachim juga berharap usahawan di Sabah dapat mempersiapkan diri dengan perubahan dalam dunia perniagaan dengan menggunakan kemudahan internet untuk melonjakkan lagi potensi pasaran produk mereka.

“Bersedia ataupun tidak, semua usahawan perlu menerima hakikat bahawa pada masa hadapan, penggunaan internet dan keusahawanan melalui e-dagang semakin meluas.

“Justeru, usahawan tiada pilihan, sebaliknya perlu mengikut rentak seterusnya mengambil peluang keemasan ini untuk meningkatkan perniagaan,” katanya.– BERNAMA

Related Articles

253FansLike

Latest Articles