KOTA KINABALU- Presiden Pertubuhan Prihatin Rakyat Sabah (PPRS) Datuk Mohd Fadli Fathullah tampil menjelaskan bahawa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu tidak disenaraikan sebagai sebuah parti.
Sebaliknya, beliau berkata ia hanya sebuah NGO seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Kami NGO PPRS menubuhkan jawatankuasa di setiap daerah dan mengangkat calon yang layak untuk bertanding atas tiket calon bebas.
“Peranan NGO ini adalah membantu dan menyokong serta mengikut segala akta yang telah ditetapkan oleh undang undang. Seperti yang sedia maklum bahawa PPRS tidak akan meletakkan nama NGO yang bertanding dalam mana mana pilihan raya negeri atau umum,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya lagi, PPRS hanya menumpukan masalah rakyat di setiap daerah supaya dapat dibela dan dibantu oleh pemimpin yang bertanggungjawab.
“Calon yang kita tampilkan adalah calon bebas yang akan bertanding pada pilihan raya dan bukannya NGO PPRS yang akan bertanding.
“Saya juga selaku Presiden PPRS tidak akan bertanding dimana-mana kawasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita hanya fokus kepada matlamat seperti mana NGO PPRS telah mempunyai matlamatnya tersendiri dalam membentuk perpaduan kebajikan masyarakat dan memantau setiap kawasan dengan mengambil maklum segala laporan masalah rakyat untuk dibawa ke peringkat yang sepatutnya,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Fadli berkata, NGO PPRS tidak akan sesekali melibatkan pertubuhan itu dalam kancah politik.
“Jadi tidak perlu orang ramai keliru dengan perancangan NGO ini kerana ia adalah satu konsep yang baru akan dibawa.
“Malah NGO akan menampilkan calon bebas yg disokong dan dipilih selayaknya untuk diangkat menjadi pemimpin di kawasan berkenaan untuk membawa segala masalah rakyat untuk diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, PPRS bersedia dengan 73 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding bebas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.