SEPANG (BERNAMA): Vaksin COVID-19 yang ditunggu-tunggu untuk melindungi penduduk di Malaysia, selamat tiba apabila pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.
Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia, membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 itu mendarat pada pukul 10.07 pagi.
Dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd, penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300 bagi membawa vaksin COVID-19 tersebut.
Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.
Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah ketibaan vaksin tersebut adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.– BERNAMAAttachments area