Garis panduan Taska di bangunan komersial di Penampang perlu disediakan – Ewon

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, berkata garis panduan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan komersial di Penampang perlu disediakan bagi memudahkan para pengusaha Taska mendapatkan lesen berkaitan.

Advertisements

Beliau berkata, ini kerana ketiadaan garis panduan yang jelas mengenai perkara itu menyebabkan beberapa pengusaha Taska khususnya di kawasan Penampang sukar mendapatkan lesen.

“Dalam perjumpaan bersama rakyat semasa pilihan raya umum yang lalu, saya menerima satu aduan, pengusaha Taska di bangunan kedai berhampiran kawasan perumahan sukar mendapatkan lesen berkenaan.

“Saya difahamkan isu ini timbul sejak tahun 2014 tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian.

“Pengusaha Taska berkenaan sukar mendapatkan lesen kerana tidak ada garis panduan daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil kira dalam memberi ulasan sebelum mengeluarkan lesen berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mencelah dengan izin semasa ucapan penggulungan Menteri KKTP Datuk Masidi Manjun, pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Ewon turut bertanya kepada pihak kementerian sama ada, kementerian berkenaan akan menyediakan garis panduan kepada semua PBT di seluruh Sabah bagi memudahkan para pengusaha Taska yang ingin membuka perusahaan di bangunan kedai komersial berhampiran dengan kawasan perumahan atau kondominium.

“Kenapa tidak kita sokong perusahaan anak-anak muda ini yang ingin membuka perusahaan Taska?,” kata Ewon.

Sementara itu Masidi berkata, pengusaha Taska berkenaan boleh membuat rayuan mengenai perkara itu.

“Kementerian sedia mempertimbangkan, kalau ada rayuan daripada para pengusaha Taska,” katanya.

Sumber – Nabalu News

Related Articles

253FansLike

Latest Articles