PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, beliau mahu menyatupadukan rakyat Penampang yang mahukan perubahan dan pembaharuan kerajaan yang menolak rasuah serta salahguna kuasa.
Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, beliau juga mahu menyatupadukan rakyat Penampang dari pelbagai kaum dan agama.
“Ada yang mengatakan saya balik Penampang untuk memecahbelahkan rakyat Penampang. Saya orang Penampang, lahir di Penampang, membesar, bersekolah dan tinggal di Penampang sehingga hari ini.
“Saya balik Penampang untuk menyatupadukan rakyat Penampang yang mahukan perubahan dan pembaharuan dalam kerajaan dan mahu kerajaan yang menolak rasuah serta salahguna kuasa.
“Saya mahu menyatupadukan rakyat Penampang yang merindui wakil rakyatnya turun padang, berjumpa rakyat, masuk kampung, masuk kawasan taman perumahan dan kawasan kedai dan mahu menyatupadukan rakyat yang inginkan kesatuan dalam penyelesaian masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Harapan Parlimen Penampang di perkarangan Boulevard Hypermarket, Kepayan di sini, malam tadi.
Ewon berkata, beliau akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah di Penampang. “Sama-sama kita selesaikan masalah, bersama kita boleh”.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, ramai pihak mempersoalkan beliau bertanding di Penampang dan mempertikaikan kemampuannya berkhidmat sebagai wakil rakyat Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang.
“Dalam ucapannya, dia (Datuk Shafie Apdal) mempersoalkan kenapa saya datang ke Penampang, untuk memecahbelahkan orang Penampang? Dia cakap yang bantu orang Kadamaian bukan Ewon tapi yang bantu ialah dia sebagai ketua menteri.
“Betul saya akui, banyak menerima peruntukan daripadanya untuk Kadamaian, kerana saya berhak minta apa rakyat Kadamaian minta kerana saya wakil rakyat Kadamaian dan saya minta di kabinet, tanpa Ewon dan UPKO, Shafie tidak akan menjadi ketua menteri pada masa itu.
“Dua tahun dia menjadi ketua menteri dan turunkan peruntukan tetapi selepas dia bukan lagi ketua menteri dari 2020 sehingga sekarang, pernah dia bantu rakyat Kadamaian? Yang selalu di Kadamaian ialah saya.
“Tadi pagi saya di Kadamaian untuk menjalankan tugas dan dan amanah sebagai Adun Kadamaian kerana saya tidak lupa tanggungjawab saya dan sekarang saya di Penampang,” katanya.
Mengenai persoalan sama ada dapat membahagikan masa untuk memberikan perkhidmatan untuk rakyat Kadamaian dan Penampang pada masa yang sama, Ewon berkata: “Ini soal niat dan komitmen kita”.
“Kepimpinan bermula dari rumah. Sebagai seorang anak, saya menghormati kedua ibu bapa saya dan perlu bantu daerah ibu dan bapa saya.
“Kadamaian ialah daerah ibu saya dan Penampang adalah daerah kelahiran saya dan daerah bapa saya.
“Saya sudah buat yang terbaik untuk Kadamaian dan hari ini saya bersedia untuk membuat yang terbaik untuk rakyat Penampang. Ini tanggungjawab sebagai seorang anak. Bila anak itu menghormati dan mahu berjasa kepada kedua ibu bapanya, dia pastinya sudah bersedia memimpin Penampang, Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.