BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam (kanan) menyerahkan sumbangan kepada seorang ibu tunggal, Junaidah Jafar yang bakal memiliki rumah baharu menerusi Program Rumah Teratak Prihatin di kampung Lubok di Dun Lumadan.
Menurut Ruslan, ia merupakan sumbangan kedua selepas seorang lagi ibu tunggal bersama anak kurang upaya (OKU) menerima bantuan menerusi program yang sama di kampung Luagan Sanginan.
Beliau berharap, pada tahun ini, akan lebih banyak lagi bantuan rumah bagi golongan yang memerlukan akan dibina, dengan kerjasama ADUN Lumadan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli perniagaan di sini.
Turut hadir ialah pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Sabah (YADIM ) Samin Ongki dan pengerusi Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limauan, Papar Osman Hj. Hamid.
Terdahulu, Ruslan menyampaikan bantuan bakul makanan E-kasih kepada golongan B40 di tiga kampung, iaitu kampung Lingkungan Laut, kampung Lingkungan Ulu dan kampung Inuman.
Pada majlis itu, sebanyak 94 bakul bantuan telah diagihkan kepada ketua isi rumah.