Kerajaan Negeri Laksana Inisiatif Program Caruman KWSP Untuk Atlit Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan Negeri (KBS) akan melaksanakan Program Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Untuk Atlet Sabah mulai tahun hadapan (2023).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika mengumumkan berita baik itu berkata, inisiatif itu khusus untuk atlet yang berkecimpung serius dalam arena sukan.
Katanya, bermula tahun 2023 semua atlet yang mewakili Sabah ke SUKMA dan Para SUKMA akan menerima pencaruman sebanyak RM50 sebulan, yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya berharap, caruman ini akan menjadi titik permulaan untuk atlet-atlet negeri ini berlatih lebih serius, menjadikan sukan sebagai kerjaya dan pembina masa hadapan”.
“Program ini juga akan memastikan kesinambungan caruman apabila atlet kita beralih ke alam bekerja kelak. Syabas kepada KBS di atas keprihatinan dan usaha berterusan memperjuangkan kebajikan atlet di negeri ini”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Sabah di Temasya Sukan Komanwel XXII-Birmingham 2022, Para Asean XI-Solo 2022, Sukan Malaysia (SUKMA) XX-MSN 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), malam tadi.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan peruntukkan yang besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan, disamping menyediakan prasarana serta teknologi sukan yang moden bagi memenuhi keperluan atlet untuk berlatih dengan lebih efisien.
Katanya, menerusi Dasar Sukan Negeri Sabah kerajaan berusaha ke arah pembentukan budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat negeri ini dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat yang menjurus kepada mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan dunia.
Menurutnya, selain penyediaan kemudahan sukan yang lebih selesa di semua kompleks sukan di seluruh negeri, bangunan Arena Belia juga wujud memenuhi keperluan masyarakat setempat, yang menjadi nadi penglibatan anak-anak muda dalam aktiviti sukan, beriadah dan berpersatuan.
Hajiji berkata, pembangunan belia dan beliwanis melalui aktiviti sukan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam membentuk sasiah masyarakat yang harmoni, bertoleransi dan bersatu-padu.
“Sukan bukan saja mampu membina jati diri dan disiplin tinggi masyarakat khususnya anak-anak muda yang merupakan harapan kita di masa hadapan, malah dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negeri ini”, tegasnya.
Katanya, jumlah keseluruhan insentif kemenangan yang diberikan kepada atlit cemerlang ialah RM481,600, satu jumlah yang agak besar tetapi amat berbaloi dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri demi terus menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah dalam bidang sukan.
Insentif kemenangan sebanyak RM10,000 diberikan kepada satu-satunya pemenang di Sukan Komanwel Birmingham. Sementara Insentif sebanyak RM68,000 kepada pemenang-pemenang Sukan PARA ASEAN Solo dan insentif berjumlah RM292,600 diberikan kepada para pemenang SUKMA 2022.
Beliau berkata, Kerajaan negeri juga tidak membelakangkan usaha gigih semua jurulatih dan pengurus pasukan yang telah banyak mengorbankan masa serta tenaga menjaga kebajikan pasukan masing-masing, dengan insentif sebanyak RM69,000 turut diberikan kepada jurulatih-jurulatih dan RM42,000 kepada pengurus-pengurus pasukan yang telah melahirkan atlet-atlet yang berjaya menyumbangkan pingat di SUKMA bulan lalu.
Hajiji menegaskan, selain pemberian insentif untuk atlet-atlet sukan, KBS juga menyalurkan banyak bantuan kepada belia dan persatuan untuk memastikan anak-anak di negeri ini mempunyai modal untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles